Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang Jumaat: Jangan asal pakai sahaja!

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    SIRI 1

    PAKAIAN sering kali dianggap sebagai satu tanda atau lambang keperibadian seseorang. Bahkan bukan itu saja, pakaian juga berperanan menggambarkan identiti sesuatu agama.

    Umpamanya, pakaian berjubah, bertengkolok atau berserban merujuk kepada Islam, bahkan banyak lagi pakaian-pakaian yang merujuk kepada Islam berdasarkan keadaan setempat.

    Manakala pakaian sami pula merujuk kepada Buddha dan pakaian paderi merujuk kepada Kristian, demikian jua pakaian Yahudi dan lain-lain agama ada identitinya tersendiri.

    Walaupun kewajipan utama berpakaian dalam Islam itu hanyalah untuk menutup aurat sahaja, namun banyak aspek perlu dititikberatkan kerana perkara berpakaian ini bukanlah suatu perkara yang boleh diringankan dan dianggap remeh.

    Antaranya daripada aspek berhias, kebersihan, kecantikan, cara dan tempat di mana sesuatu pakaian itu hendak dipakai supaya bersesuaian dengan kehendak hukum adat, selain syaraknya. Umpamanya ketika Hari Raya kita dikehendaki memakai pakaian seindah mungkin.

    Gambar fail Infofoto: Pakaian cara Melayu diunjurkan untuk dipakai apabila sembahyang Jumaat.

    Begitu juga dengan pakaian pasukan keselamatan, ia tidak sama dengan pakaian-pakaian beruniform yang lain. Semuanya merujuk kepada identiti dan mudahnya mengenali mereka untuk sebarang tujuan keselamatan.

    Apa yang pasti, ketiadaan pakaian yang layak dan sesuai untuk pergi ke sesuatu majlis atau tempat adalah merupakan faktor utama yang boleh mengurangkan atau menjatuhkan maruah seseorang.

    Hal ini diperkuatkan dengan perkataan As-Sayyid Al-Bakri Rahimahullah bahawa keuzuran disebabkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai atau layak itu boleh menjatuhkan maruah seseorang jika dibandingkan dengan lain-lain keuzuran.

    Selaku orang Melayu yang beragama Islam, kita (orang-orang Melayu Brunei) terikat dengan hukum-hakam syarak dan adat budaya. Di samping berpakaian menutup aurat, cara berpakaian dengan sopan dan sesuai dengan majlis yang dihadiri juga telah lama disemai dan dipraktikkan.

    Apa yang pasti, warga Brunei memang mempunyai budaya berpakaian yang selari dengan kehendak hukum syarak. Pakaian cara Melayu Brunei sebenarnya amat menepati ciri-ciri menutup aurat dalam Islam, di samping mempunyai nilai seni tradisi yang sopan lagi indah.

    Adalah lebih indah dan baik sekiranya baju cara Melayu Brunei yang lengkap inilah yang dipakai untuk sembahyang Jumaat dipilih yang berwarna putih kerana menurut sunnah.

    Namun perkembangan mutakhir cukup merisaukan, dengan merujuk ketika hendak menunaikan sembahyang fardu Jumaat ke masjid. Ini kerana ada jemaah yang berpakaian mengikut sesuka hati.

    Penilaian berpakaian itu bukan hanya setakat menutup aurat, akan tetapi kesesuaiannya meliputi keindahan dan perhiasan, sesuai dengan tuntutan syarak supaya berhias-hias setiap kali sembahyang termasuk ketika hendak menunaikan sembahyang Jumaat.

    Di negara kita Brunei Darussalam – pada suatu masa – khususnya apabila bercakap mengenai pakaian sembahyang fardu Jumaat, mempunyai identitinya yang tersendiri.

    Seseorang itu akan kelihatan janggal atau ganjil jika dia tidak memakai pakaian cara Melayu yang lengkap dengan samping atau sinjang, lebih-lebih lagi kalau tidak bersongkok atau berketayap putih bagi menandakan dia telah naik haji seperti juga memakai pakaian gamis. Demikianlah pakaian sewaktu menunaikan sembahyang Jumaat.

    Tetapi sejak akhir-akhir ini, trend hadir ke masjid pada hari Jumaat dengan ‘cara Melayu’ tanpa samping atau sinjang sudah dianggap tidak apa-apa, sudah menjadi perkara biasa, nampaknya seperti boleh diterima, padahal kita tidak boleh biarkan demikian! Kalau ini terus berlaku dan dibiarkan, ia akan menular di kalangan orang Melayu. Tanpa disedari kita ‘membunuh’ suatu budaya yang indah dan sopan ketika pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat.

    Ke masjid pada hari Jumaat dengan memakai pakaian ‘asal pakai’ ini, umpamanya seperti memakai pakaian sukan, pakaian seperti hendak ke pasar atau seperti hendak masuk hutan.

    Semua pakaian tersebut adalah tidak sesuai, tidak layak serta tidak manis dipakai untuk menghadiri sembahyang fardu Jumaat.

    Kita tekankan sekali lagi, kita bukan hanya bercakap tentang pakaian yang sekadar menutup aurat, tetapi yang terbaik, sopan dan manis. Malahan agama juga menganjurkan sedemikian.

    Tambah menyedihkan lagi, apabila golongan yang dianggap tua juga mula terikut-ikut ingin mencuba gaya pakaian baju Melayu tanpa samping, ‘asal pakai’ saja.

    Sepatutnya golongan tua menjadikan diri mereka sebagai contoh ikutan yang baik kepada anak-anak mereka atau generasi muda supaya amalan tradisi dan budaya pakaian orang Brunei yang terkenal dengan baju Melayunya yang lengkap itu tidak hilang, kerana ia menggambarkan suatu identiti pakaian Brunei kita.

    Sikap Bank Islam di mana kakitangannya memakai baju Melayu lengkap sewaktu menghadiri sembahyang Jumaat, patut dipuji. Pihak swasta yang lain pun patut mengambil inisiatif dan langkah yang sama.

    Sekalipun berpakaian lengkap bukan sebagai syarat sah atau tidaknya sesuatu sembahyang termasuk sembahyang Jumaat, namun kita patut berfikir bahawa kita sebenarnya berada dalam suatu majlis keramaian, maka patutlah kita berhias-hias dengan pakaian yang selayaknya, lebih-lebih lagi majlis Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Fikirkanlah!

    Mengenai dengan pakaian sewaktu menghadiri sembahyang Jumaat ini, para ulama bukan hanya bercakap tentang pakaian yang layak dan sopan, bahkan mereka bercakap tentang pemilihan warna-warna yang sesuai, maka atas dasar inilah Irsyad hukum membuka minda kita supaya jangan pakai pakaian ‘asal pakai’ sahaja.

    Berhias untuk sembahyang fardu Jumaat

    Berhias ialah perkara yang disunatkan untuk dilakukan pada hari Jumaat bagi orang lelaki yang akan hadir ke masjid untuk berjemaah fardu Jumaat.

    Berhias itu ialah dengan memakai pakaian yang elok dan terbaik. Inilah yang dianjurkan dalam hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam daripada Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya:

    “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, lalu dia memakai yang terbaik daripada pakaian-pakaiannya dan memakai wangian (haruman) – sekiranya dia ada – setelah itu dia pergi ke tempat menunaikan fardhu Jumaat tanpa melangkahi kepala orang lain, lalu mengerjakan mana-mana sembahyang (sunat yang dikehendakinya), kemudian dia berdiam diri sebaik sahaja imam muncul (untuk menyampaikan khutbah) sehinggalah dia selesai daripada sembahyangnya, maka kesemua yang dilakukannya ini menjadi penghapus dosanya (yang berlaku) antara Jumaat tersebut dan Jumaat yang sebelumnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Adapun maksud daripada ‘tanpa melangkahi kepala orang lain’ merupakan anjuran untuk dia datang pada awal waktu supaya dia tidak perlu memintas (melangkahi) barisan atau saf jemaah.

    Bagaimanapun berpakaian yang elok dan sempurna itu bukan sahaja dituntut pada hari Jumaat, bahkan pada setiap kali kita menghadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala sepertimana yang disebutkan dalam firmanNya yang tafsirnya:

    “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).” (Surah al-A‘raf: 31)

    Warna Yang Afdal Dipakai

    Adapun daripada pakaian yang terbaik itu, yang afdal dipakai ialah yang berwarna putih. Maka adalah sangat jelas warna putih itu afdal dipakai berdasarkan kepada beberapa hadis antaranya ialah riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Pakailah daripada pakaian-pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya pakaian putih itu adalah sebaik-baik pakaian kamu. Dan kafankanlah padanya (kain warna putih) orang-orang yang meninggal dunia di kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Jika tiada pakaian yang berwarna putih, maka pakaian yang hampir warnanya kepada putih. Jika tiada juga, maka boleh memakai pakaian yang berwarna. Manakala menurut Syeikh Zakaria al-Anshari Rahimahullah daripada pakaian yang berwarna itu diutamakan dahulu warna selain warna hitam.

    Menurut As-Sayyid Al-Bakri Rahimahullah, adapun yang akmal (lebih sempurna) hendaklah kesemua bentuk atau jenis pakaian itu berwarna serba putih termasuklah serban (atau alas kepala).

    Bahkan afdal serban itu berwarna putih. Ini kerana jika dia tidak mendapati kesemua bentuk atau jenis pakaiannya itu serba putih, maka memadailah dia memakai pakaian warna putih itu pada sebelah atas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda