Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang Jumaat: Jangan asal pakai sahaja!

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    SIRI 2

    Adakah mesti pakaian itu baharu?

    SESETENGAH ulama mengatakan sunat memakai pakaian putih yang baharu. Namun jika tiada pakaian putih yang baharu, maka memadailah pakaian putih yang masih dianggap baharu.

    Ini kerana apa yang dimaksudkan daripada pakaian yang terbaik, bagus dan elok itu bukanlah semestinya pakaian yang baharu setiap minggu sehingga menyebabkan kesusahan kepada individu tersebut. Apa yang dimaksudkan ialah umpamanya dia mempunyai beberapa helai pakaian putih, maka sunat dia memilih pakaian putih yang baharu di antara kesemuanya.

    Namun jika dia ada kemampuan untuk menyediakan pakaian yang khusus untuk digunakan pada hari Jumaat sahaja, maka lakukanlah. Ini kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pernah menyarankan perkara ini dalam hadits yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Yahya yang maksudnya:

    “Tidak ada salahnya jika salah seorang daripada kamu, atau kamu sekaliannya, (jika ada kemampuan) untuk menyediakan dua pakaian (khusus untuk dipakai) pada hari Jumaat, (iaitu sebagai tambahan) selain dari dua pakaian kerjanya yang sehari-hari.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Pakaian bagi imam

    Begitu juga halnya bagi imam, di mana dia juga disunatkan untuk memakai pakaian yang terbaik.

    Bahkan disunatkan dan digalakkan untuk menjaga penampilannya, iaitu dengan menambah perhiasan pakaian yang lain seperti serban dan memakai jubah (tambahan pada bahagian luar) kerana ittiba‘ (mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW). Ini kerana imam itu menjadi perhatian dan sebagai contoh ikutan kepada para jemaah.

    Adapun warna pakaian bagi imam pula, ash-shahih menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah ialah sunat memakai pakaian putih, iaitu seperti mana jemaah yang lainnya.

    Menurut pendapat beberapa ulama, tidak memakai pakaian hitam itu adalah lebih utama (awla) daripada memakainya.

    Melainkan andaikata jika dia tidak memakai pakaian hitam, maka dia takut ataupun kuat sangkaannya akan mendatangkan akibat buruk kerana dia telah menyalahi (perintah) sultan atau selainnya.

    Manakala Imam al-Ghazali Rahimahullah menyebut dalam kitabnya Ihya ‘Ulumuddin hukumnya adalah makruh bagi khatib (atau imam) memakai pakaian hitam. Diertikan juga makruh itu dengan menyalahi yang utama. Begitu juga bagi para jemaah, hukumnya adalah makruh memakai pakaian hitam.

    Periwayatan pakaian hitam

    Adapun pendapat al-Mawardi Rahimahullah yang melazimkan pakaian hitam pada hari Jumaat adalah kerana satu kemungkinan atau sebab, iaitu pada zaman tersebut para pemerintah Abbasiyah (‘Abbasiyyin) menegah pembaca-pembaca khutbah untuk memakai pakaian selain warna hitam.

    Di samping itu terdapat juga beberapa riwayat yang dibawakan berkaitan dengan perkara ini, antaranya:

    1) Nabi Muhammad SAW memasuki Mekah pada hari pembukaaan Mekah dengan memakai serban hitam.

    2) Nabi Muhammad SAW memasuki Mekah pada hari pembukaaan Mekah lalu berkhutbah kepada orang ramai dengan memakai serban hitam.

    3) Baginda Muhammad SAW memakai serban hitam pada Hari Raya Aidiladha dan Fitrah.

    4) Daripada at-Thabarani menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW memakaikan Sayyidina ‘Ali Karramallahu wajhah serban hitam, kemudian Baginda mengutus Sayyidina Ali Karramallahu wajhah ke (peperangan) Khaibar.

    5) Telah dinaqalkan (diceritakan) bahawa ramai daripada para sahabat dan para tabi‘in memakai pakaian hitam.

    Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj mengatakan bahawa memang benar apa yang dibawakan dalam hadits yang telah disebutkan di atas.

    Namun beliau juga menyatakan satu kesimpulan sebagai menjawab persoalan ini bahawa kesemua hadits di atas adalah periwayatan dari segi perbuatan berdasarkan satu-satu keadaan atau kejadian yang tertentu.

    Sedangkan hadis yang menyuruh memakai pakaian berwarna putih adalah periwayatan dari segi pengucapan (suruhan).

    Maka menurut Ibnu Hajar Rahimahullah, apabila terdapat perbezaan antara dua hadis, iaitu hadis percakapan dan hadis perbuatan Baginda, maka didahulukan atau diutamakan hadis percakapan atau suruhan Nabi Muhammad SAW.

    Adapun yang dimaksudkan bahawa Nabi Muhammad SAW memakai serban hitam itu pada ‘satu-satu keadaan atau kejadian yang tertentu’ ialah pemakaian hitam bukan pada hari Jumaat umpamanya:

    1) Pada waktu peperangan, iaitu untuk menakutkan musuh kerana warna hitam itu lebih menggerunkan.

    2) Pada hari pembukaan Mekah, iaitu sebagai satu isyarat atau pemberitahuan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW itu tidak akan berubah-ubah seperti juga warna hitam. Berbeza dengan warna-warna yang lain yang boleh berubah-ubah.

    3) Pada dua Hari Raya kerana sunat memakai pakaian yang terbaik dan cantik. Ini kerana pada hari raya jika ada pakaian yang lebih cantik, bagus atau mahal harganya, maka pakaian itu adalah afdhal dan diutamakan untuk dipakai daripada yang berwarna putih.

    Sebagai kesimpulan, hukum memakai pakaian yang terbaik pada hari Jumaat adalah sunat. Manakala warna yang afdhal dan diutamakan ialah yang berwarna putih. Bahkan disunatkan juga supaya kesemua jenis pakaian yang dipakai itu berwarna putih termasuk serban atau alas kepala.

    Sekiranya dia tidak memperolehi kesemuanya berwarna putih, maka memadailah memakai warna putih itu pada pakaian di bahagian atas. Kemudian jika tiada juga, maka memadailah memakai pakaian selain putih, iaitu yang berwarna.

    Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah pakaian berwarna putih merupakan warna yang paling disukai oleh Allah SWT. Maka tidak hairanlah sesetengah ulama menggalakkan pakaian serba putih itu dipakai pada apa saja bentuk perkumpulan sekalipun bukan pada hari Jumaat.

    Sesetengah ulama mengatakan hukum memakai pakaian hitam; sama ada bagi imam atau para jemaah, pada hari Jumaat adalah makruh dan meninggalkannya adalah lebih utama.

    Seperti yang diketahui bahawa melakukan perkara yang makruh itu tidak berdosa akan tetapi meninggalkannya pula akan diberikan ganjaran pahala.

    Maka di samping melakukan ibadah fardu pada hari Jumaat, wajarlah juga direbut peluang untuk meraih ganjaran pahala kerana melakukan perkara yang disunatkan serta meninggalkan perkara yang makruh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda