Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Sembahyang merupakan Rukun Islam setelah syahadah yang setentunya menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam, namun begitu sembahyang tidak boleh ditinggalkan walau apa cara sekalipun berbanding dengan ibadat-ibadat lain.
Oleh itu, sikap istiqamah perlu ditanamkan dalam individu seseorang Islam agar ibadat sembahyang sentiasa diusahakan dan dititikberatkan apatah lagi sembahyang Isyak dan Subuh berjemaah yang menjadi kesusahan bagi sesetengah umat Islam.
Perkara ini ditekankan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustafa semasa menyampaikan tazkirah subuh bertajuk ‘Istiqamah Dalam Mengerjakan Sembahyang’ sempena Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.
Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program minggu ini ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.
Dalam tazkirahnya itu, Haji Muskrisman Safari berkata, dalam menjadikan diri sentiasa istiqamah, tanamkan dalam diri dengan beberapa perkara seperti sikap sentiasa bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan, menanamkan sifat ikhlas dalam segala aspek ibadah, betulkan niat semata-mata untuk meraih reda Allah jua.
“Insya-Allah jika perkara seperti ini ditanamkan dalam jiwa seseorang Islam pasti akan menimbulkan rasa takut akan balasan azab Allah dan seterusnya boleh istiqamah dalam ibadah khususnya sembahyang,” ujar beliau.
Program pada minggu ini dikendalikan oleh KHEU dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan disokong oleh Jabatan Perdana Menteri.
Ia merupakan satu program mingguan dan ajakan bagi mengalu-alukan jemaah memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah pada awal waktu di masjid.
