Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid akan mengadakan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara, dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pada pukul 2.12 pagi, waktu berlakunya Gerhana Bulan Penuh pada 8 September.
Sementara itu, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan memaklumkan akan berlaku fenomena Gerhana Bulan Penuh dijangka dapat disaksikan di Negara Brunei Darussalam bermula pukul 12.27 pagi hingga 3.56 pagi.
Sehubungan itu, umat Islam disunatkan menunaikan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan sekiranya berlakunya gerhana.
Orang ramai serta jemaah dialu-alukan hadir ke masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi menunaikan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan.


