Sembahyang sunat gerhana di seluruh masjid

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Sempena fenomena gerhana bulan se-para yang berlaku petang tadi, masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan.

Hadir pada majlis yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pegawai dan kakitangan yang terlibat serta penduduk yang tinggal di sekitarnya.

Sembahyang Sunat Gerhana Bulan berjemaah diimamkan oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Mohamad Hasnal bin Haji Mohamad, manakala itu, khutbah khas telah dibacakan oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat selaku khatib.

Khutbah antara lain menekankan bahawa gerhana merupakan suatu kejadian memperlihatkan keagungan dan kebesaran Allah SWT yang berlaku pada matahari dan bulan sebagai tanda atau bukti kekuasaanNya sepertimana terjadinya siang dan malam.

Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam supaya melakukan perkara-perkara berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana.

Menurut khatib lagi, apabila berlakunya gerhana, umat Islam seharusnya menjadikannya satu iktibar dan pengajaran untuk meningkatkan kesedaran diri supaya selalu ingat akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT serta memohon ampun kepadaNya dan bertaubat atas segala dosa yang dilakukan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menunaikan sembahyang Sunat Gerhana bersama pegawai-pegawai yang terlibat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.