Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang Sunat Hajat sempena ulang tahun pertama PBMP

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Bersempena dengan sambutan ulang tahun pertamanya, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) telah mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan Bacaan Ratib Al-Attas di Masjid Kampung Lambak, Berakas, kelmarin. Majlis turut diselajurkan dengan Sambutan Hari Maritim Sedunia 2018 yang membawa tema ‘IMO 70: Our Heritage – Better Shipping for a Better Future’.

    Tema ini memfokuskan kepada kerja-kerja Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) sepanjang tempoh 70 tahun dari aspek penggubalan Konvensyen Perkapalan Antarabangsa dalam usaha untuk menjadikan kapal-kapal dagang pada masa ini lebih selamat, efisien dan terurus.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan selaku Pengerusi PBMP, Haji Azhar bin Haji Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi dan Ketua Eksekutif PBMP, Haji Salihin bin Haji Aspar.

    Majlis turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dan pengarah-pengarah di Kementerian Perhubungan, ahli-ahli Lembaga Pengarah PBMP, para pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta PBMP.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan wakaf yang disampaikan oleh Haji Azhar kepada Pemangku Imam Masjid Kampung Lambak, Berakas, Haji Mohd Ashraf bin Haji Bujang.

    PBMP merupakan sebuah badan berkanun yang mengawal selia dan bertanggung jawab ke atas pengurusan, pentadbiran dan keselamatan hal ehwal maritim dan pelabuhan di Negara Brunei Darussalam.

    Antara pencapaian yang dapat dilihat dalam tempoh setahun penubuhannya adalah pengambilalihan operasi dan pengendalian Pelabuhan Muara oleh Syarikat Muara Port Company Sdn Bhd (MPC) sebagai pembekal perkhidmatan yang bertujuan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan meningkatkan lagi jumlah perkapalan dan kargo di Pelabuhan Muara.

    Haji Azhar ketika menyampaikan wakaf pada majlis berkenaan kepada pemangku imam Masjid Kampung Lambak, Berakas.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda