Wednesday, July 16, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang sunat khas untuk kesihatan Baginda Sultan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pagi tadi telah mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Khas Berjemaah bagi Memohon Kesihatan dan Kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

    Hadir sama ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; serta Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis yang bermula pada jam 4:15 pagi itu dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Khas yang diimamkan oleh Imam Tingkat III Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz.

    Manakala bacaan Doa Khas dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

    Sebagai kesinambungan kepada usaha ini, KHEU akan meneruskan pelaksanaan sembahyang Sunat Hajat berjemaah di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara pada setiap hari selepas sembahyang Fardu Maghrib berjemaah serta pada hari Jumaat sebelum sembahyang Fardu Jumaat.

    Dalam pada itu, seluruh rakyat dan penduduk negara ini turut dialu-alukan untuk mengadakan solat Sunat Hajat, memohon doa ke hadrat Allah SWT agar Baginda Sultan sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan perlindungan yang berpanjangan dalam memimpin negara ke arah kesejahteraan dan keberkatan yang berterusan.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa menyertai sembahyang Sunat Hajat Khas berjemaah, awal pagi kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara yang menyertai sembahyang Sunat Hajat Khas berjemaah tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda