(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 1
MEMBACA surah selepas membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang merupakan sunat hai’at. Ia disunatkan sebagai mengikut (ittiba) perbuatan Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Bahkan menurut Ibnu Qasim Al-’Abbadi Rahimahullah meninggalkan membaca surah adalah makruh.
Apabila mengerjakan sembahyang sunat, mungkin timbul pertanyaan apakah surah-surah yang sunat dibaca setelah membaca surah Al-Fatihah.
Ini kerana pada sebahagian sembahyang sunat itu telah ditentukan atau dikhususkan ayat atau surah tertentu. Bagaimana pula dengan sembahyang sunat yang lain? Maka penjelasan ringkasnya adalah seperti berikut.
Membaca surah selepas surah Al-Fatihah dalam sembahyang fardhu dan sunat
Menurut ulama, sunat membaca surah selepas membaca surah Al-Fatihah bagi imam dan munfarid (orang yang bersembahyang seorang diri), sama ada dalam sembahyang jahr, iaitu sembahyang yang dinyaringkan bacaan atau sembahyang sirr, iaitu sembahyang yang diperlahankan bacaan.
Oleh yang demikian, sunat membaca surah dalam sembahyang yang dua rakaat, sama ada sembahyang fardhu seperti sembahyang Jumaat atau sembahyang sunat seperti sembahyang sunat Subuh.
Disunatkan juga membaca surah pada dua rakaat yang pertama sembahyang fardhu seperti sembahyang fardhu Maghrib dan Zhuhur.
Membaca satu surah lengkap atau memadai beberapa ayat sahaja?
Dalam sembahyang fardhu Subuh dan juga dua rakaat pertama dalam sembahyang-sembahyang yang lain, iaitu selepas membaca surah Al-Fatihah, disunatkan bagi imam dan munfarid membaca sesuatu ayat atau surah daripada Al-Qur’an. Tuntutan sunat itu dapat dicapai dengan hanya membaca satu ayat sahaja daripada al-Qur’an dan yang afdhalnya adalah sebanyak tiga ayat.
Akan tetapi satu surah yang lengkap, sekalipun surah yang pendek, adalah lebih afdhal dibaca daripada membaca sebahagian ayat sahaja daripada surah yang panjang (jika tidak dibaca keseluruhannya).
Ini kerana apabila dibaca sebahagian ayat sahaja dari surah yang panjang, boleh jadi dia waqaf (memberhentikan) di tempat yang tidak diharuskan waqaf, dan ini boleh memutuskan ayat Al-Qur’an yang mempunyai kaitan dengan ayat yang selepasnya.
Walau bagaimanapun dalam perkara ini dikecualikan beberapa sembahyang sunat seperti sembahyang sunat Tarawih dan sembahyang sunat Subuh, kerana dalam sembahyang sunat Tarawih dan sembahyang sunat Subuh telah warid (disebutkan) di dalam hadits untuk membaca sebahagian ayat daripada surah-surah yang tertentu. Adapun ayat atau surah yang warid dibaca dalam sembahyang sunat Subuh akan diterangkan kemudian.
Apakah surah-surah yang dibaca dalam sembahyang-sembahyang sunat?
Pada dasarnya surah-surah yang dibaca dalam kebanyakan sembahyang sunat selepas bacaan surah Al-Fatihah ialah surah Al-Kafirun pada rakaat pertama dan surah Al-Ikhlash pada rakaat kedua.
Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullah bahawa sunat membaca surah Al-Kafirun dan surah Al-Ikhlash dalam sembahyang-sembahyang sunat di antaranya ialah sembahyang sunat Maghrib, sembahyang sunat Isya, sembahyang sunat Thawaf, sembahyang sunat Istikharah, sembahyang sunat dua rakaat ketika hendak belayar (musafir) dan kembali dari musafir, sembahyang sunat Ihram dan diqiyaskan dengannya sembahyang sunat Tahiyyah al-Masjid, sembahyang sunat Dhuha, sembahyang sunat Zawal dan seumpamanya, dalam sembahyang fardhu Maghrib pada malam Jumaat menurut riwayat al-Baihaqi Rahimahullah dan disunatkan juga membacanya dalam sembahyang fardhu Subuh pada hari Jumaat bagi orang musafir sebagaimana yang diriwayatkan oleh ath-Thabarani Rahimahullah.
Maka ini termasuklah juga sembahyang sunat Tahajjud dan sembahyang sunat Hajat.
Berkata Al-’Allamah as-Saiyid ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullah bahawa sebahagian ulama berpendapat adalah sebaiknya membaca kedua-dua surah ini dalam setiap sembahyang yang tidak dikhususkan surahnya, seperti yang disebutkan dalam kitab Hasyiyah Fath al-Mu’in.
Namun ada juga surah-surah yang khusus dibaca dalam sebahagian sembahyang sunat sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama. Di antara sembahyang sunat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:
1. Sembahyang sunat wudhu
Berkata al-Habib Thahir bin Husin Ba ‘Alawi Rahimahullah dalam Al-Maslak Al-Qarib bahawa pada rakaat pertama selepas bacaan surah Al-Fatihah sunat dibaca:
1) Ayat ke 64 daripada Surah An-Nisa
2) Selepas itu beristighfar sebanyak tiga kali dan kemudian dibaca surah Al-Kafirun.
Pada rakaat kedua selepas bacaan surah al-Fatihah sunat dibaca:
1)Ayat ke 110 surah An-Nisa
2) Selepas itu beristighfar sebanyak tiga kali, kemudian dibaca surah Al-Ikhlash.
2. Sembahyang sunat Subuh
Terdapat tiga cara yang disebutkan oleh ulama tentang pemilihan ayat atau surah dalam sembahyang Sunat Subuh, iaitu:
Cara pertama:
Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebut dalam kitab al-Majmu bahawa sunat dibaca pada dua rakaat sembahyang sunat Subuh surah yang pendek sebagaimana disebutkan dalam kitab ash-Shahihain (Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim), yang membawa maksud, “Sesungguhnya Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada rakaat yang pertama (ketika sembahyang sunat Subuh) membaca satu ayat daripada surah al-Baqarah dan pada rakaat yang kedua Baginda membaca satu ayat daripada surah Ali ‘Imran.” (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan An-Nasa’e).
Ayat yang dimaksudkan pada rakaat pertama ialah dari surah al-Baqarah ayat 136. Manakala pada rakaat kedua ialah dari surah Ali ‘Imran ayat 64.
Cara kedua:
Sunat juga dibaca pada rakaat pertama surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua pula surah Al-Ikhlash sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah yang maksudnya:
“Baginda (Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam) membaca pada rakaat pertama dalam sembahyang sunat Subuh (surah Al-Kafirun) dan pada rakaat kedua (surah Al-Ikhlash).” (Hadis riwayat Muslim)
Cara Ketiga:
Al-’Allamah as-Saiyid ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullah juga menyebutkan bahawa sunat membaca surah al-Insyirah pada rakaat pertama dan surah Al-Fil pada rakaat kedua.
Sebagai kesimpulan, adalah lebih awla (utama) juga menggabungkan surah-surah itu supaya dapat beramal dengan kesemua riwayat yang warid mengenainya. Dimulakan dengan membaca pada rakaat pertama selepas bacaan surah al-Fatihah:
1) Ayat ke 136 daripada surah Al-Baqarah
2) Surah Al-Insyirah dan
3) Surah Al-Kafirun
Kemudian pada rakaat kedua selepas bacaan surah al-Fatihah sunat dibaca:
1) Ayat ke 64 daripada surah Ali ‘Imran
2) Surah al-Fil dan
3) Surah al-Ikhlash
Bersambung minggu depan…