Friday, March 21, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang Sunat Tarawih secara bersendirian: Hukum dan kedudukannya

    Sambungan dari minggu lepas

    Hadits ini jelas menunjukkan kelebihan khusus bagi mereka yang mengerjakan sembahyang sunat Tarawih bersama imam sehingga selesai. Jemaah yang mengerjakan sembahyang sunat Tarawih bersama imam dan tetap sabar menunaikannya bersama imam sehingga selesai sembahyang, akan diberikan ganjaran seolah-olah dia mendirikan qiyamullail sepanjang malam.

    Berdasarkan hadits di atas ini, Imam Ahmad Rahimahullah berkata: “Aku suka seseorang mengerjakan sembahyang (sunat Tarawih) bersama imam dan turut Witir bersamanya”.

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pada asalnya mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah. Baginda hanya berhenti mengerjakannya secara berjemaah kerana bimbang ia akan difardhukan ke atas umat Islam sepertimana hadits yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha yang telah disebutkan sebelum ini.

    Sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah itu adalah ijma‘ para sahabat. Diriwayatkan bahawa Sayyidina ‘Ali, Ibn Mas‘ud, Ubai bin Ka‘ab, Zayyid bin Tsabit serta para sahabat lainnya mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah.

    Sayyidina ‘Umar sendiri mengarahkan supaya sembahyang sunat Tarawih itu dikerjakan secara berjemaah dan amalan ini diteruskan oleh para sahabat yang lain tanpa apa-apa pertentangan atau perse-lisihan. Selain ijma‘ para sahabat, ia juga menjadi ijma‘ jumhur para ulama dan kaum muslimin.

    Pendapat bahawa sembahyang sunat Tarawih itu lebih afdhal dikerjakan secara berjemaah merupakan pendapat jumhur ulama mazhab asy-Syafi‘i, mazhab Abu Hanifah, mazhab Ahmad dan sebahagian ulama mazhab Maliki. Menurut Imam al-‘Iraqi Rahimahullah, sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah itu sudah pun menjadi sebahagian daripada syi‘ar Islam yang zahir sebagaimana halnya sembahyang sunat Hari Raya.

    Selain menjadi sebahagian daripada syi‘ar Islam, mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah itu merupakan satu perbuatan yang dianggap sebagai menghidupkan sunnah.

    Imam Ahmad Rahimahullah berkata: “Aku suka seseorang mengerjakan sembahyang (sunat Tarawih) secara berjemaah bagi menghidupkan sunnah”.

    Dari penjelasan di atas, dapat dirumuskan bahawa sembahyang sunat Tarawih boleh dan sah dikerjakan secara bersendirian. Apabila seseorang mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara bersendirian, dia sudah dikira memenuhi tuntutan dan beroleh pahala mengerjakan sembahyang sunat Tarawih. Sungguhpun demikian, mengerjakannya secara berjemaah adalah lebih afdhal dan utama.

    Dari itu, rugilah mereka yang meninggalkan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah tanpa apa-apa sebab dan keuzuran kerana terlepas pahala qiyamullail sepanjang malam dan terlepas gandaan pahala dan kelebihan lainnya yang hanya ada khusus pada bulan suci Ramadhan.

    Gambar mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda