Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang teras kekuatan ummah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Sembahyang adalah tiang agama dan sembahyang juga adalah teras dan pengukur ketakwaan umat Islam sama ada dari segi akidah, keimanan dan ketakwaan terhadap Allah.

    “Apabila tiang agama ini ditegakkan, akan terbentuk umat Islam yang teguh, kuat keimanan serta tidak akan mudah goyah dan tergugat oleh apa juga anasir luar yang cuba memporak-perandakan agama Islam, bahkan akan tetap terus dalam keimanan kepada Allah dan mempertahankannya,” tegas khatib semasa khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Sembahyang Teras Kekuatan Ummah’.

    Sesungguhnya pensyariatan ibadat sembahyang dalam agama Islam, jelasnya, telah menjadikan ibadat ini teras kekuatan yang agung sebagai penyelamat bagi kehidupan seseorang Muslim.

    Khatib menerangkan sembahyang lima waktu mula difardukan kepada umat Islam dalam bulan Rejab ketika satu peristiwa bersejarah yang sentiasa diingati oleh umat Islam kerana dalam bulan ini berlaku peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW.

    Dalam peristiwa itu, Rasulullah SAW telah diisrakkan dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa di Palestin dan kemudian dimikrajkan ke langit menuju Sidratul Muntaha dan di situlah Baginda menyaksikan tanda-tanda keagungan dan kekuasaan Allah dan kemuncak peristiwa inilah Allah telah memfardukan sembahyang lima waktu kepada umat Islam.

    Selain sembahyang juga merupakan senjata dan benteng yang kukuh dan mampu untuk menjaga diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.

    Ibadat sembahyang mempunyai pengaruh yang mampu mendasari setiap langkah kehidupan ke arah kebaikan dan ini antaranya menanamkan sifat berdisiplin selain menyemai konsep kebersihan diri melalui berwuduk sama ada dari segi kebersihan tubuh badan, pakaian dan tempat.

    Selain itu, melalui berwuduk pula akan dapat menghilangkan noda dan dosa yang dilakukan oleh anggota badan dan menanamkan sifat takut untuk melakukan dosa, sama ada dosa kecil atau dosa besar dan malu untuk berkelakuan yang tidak baik.

    “Ringan atau berat itu bergantung pada keimanan seseorang dan semakin beriman seseorang itu bererti semakin mudah ia menunaikan dan mendirikan sembahyang tapi jika kurangnya iman seseorang itu terhadap Allah, akan terasa berat dan malas untuk menunaikan ibadat sembahyang,” katanya.

    Khatib seterusnya menegaskan, pada zaman yang serba moden ini telah menjadikan kita semakin sibuk dengan hal ehwal dunia tapi janganlah, jadikan kesibukan itu sebagai satu alasan untuk mencuaikan dan melengahkan ibadat sembahyang.

    Ibadat sembahyang itu adalah ibadat utama dan yang mula-mula sekali akan diperhitungkan oleh Allah pada hari kiamat kelak.

    Oleh itu, tegas khatib lagi, jika seseorang itu sempurna sembahyangnya, berkatlah dan beruntunglah dia tapi jika tidak menyempurnakan sembahyang, akan rugi dan menyesal dia kelak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda