TAWAU, 11 Jan – Polis menggagalkan satu sindiket yang cuba menipu berkaitan pengurusan kad pekerja warga asing dan individu tanpa pengenalan diri untuk bekerja di Sabah selepas menahan sembilan kakitangan sebuah syarikat swasta di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata setakat semalam, empat lelaki dan lima wanita berumur antara 20 hingga 65 tahun yang terdiri daripada pengurus syarikat, kerani serta ejen syarikat ditahan dalam serbuan ke atas premis syarikat terbabit di Jalan Dunlop sejak Rabu lepas.
“Modus operandi syarikat adalah pemohon hanya perlu mengisi borang dan membayar upah antara RM800 hingga RM1,200 kepada syarikat untuk membuat kad pekerja terbabit dan kononnya pemohon diberi jaminan tidak akan ditangkap polis.
“Kad pekerja itu juga kononnya menggantikan permit pekerjaan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan pekerjaan di mana-mana syarikat atau kilang yang beroperasi di Sabah,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya lagi, ejen syarikat yang berjaya mencari pemohon akan mendapat komisen RM200 bagi setiap pemohon.
“Polis turut merampas borang permohonan serta lain-lain dokumen termasuk profil syarikat, sijil maklumat data warga asing, fail pendaftaran warga asing dan kanak-kanak, 23 keping kad pekerja yang sudah siap dan wang tunai RM2,910,” katanya dan menambah kesemua barang itu dirampas sewaktu serbuan ke atas premis syarikat terbabit.
Dalam pada itu, Fadil berkata pihaknya turut membuat pengesahan berhubung perkara itu dengan Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Imigresen namun kedua-dua pihak menafikan pernah melantik mana-mana individu atau syarikat bagi menguruskan atau memproses sebarang jenis kad pekerja untuk warga asing mahupun individu yang tiada pengenalan diri di Sabah. – Bernama
