NEW DELHI, 4 OGOS – Sekurang-kurangnya sembilan orang kanak-kanak terbunuh dan beberapa lagi cedera hari ini selepas tembok runtuh semasa acara keagamaan Hindu di negeri tengah India, Madhya Pradesh, kata polis.
Kejadian berlaku di perkampungan Shahpur di daerah Sagar, kira-kira 205km timur laut Bhopal, ibu kota Madhya Pradesh.
“Hari ini dalam kejadian tragis berhampiran kuil Hardaul Baba di Shahpur di sini, sembilan orang kanak-kanak berusia antara 10-15 tahun terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam runtuhan tembok. Orang ramai telah berkumpul di kuil untuk upacara keagamaan apabila dinding sebuah rumah di sebelah kuil runtuh menimpa mereka,” kata seorang pegawai polis.
“Rumah berusia 50 tahun itu dilanda hujan lebat pada musim tengkujuh yang berterusan.”
Sejurus selepas kejadian itu, pihak berkuasa mengerahkan anggota pasukan tindak balas bencana dan pasukan polis ke lokasi untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat dan menarik mayat-mayat dari bawah runtuhan.
Kanak-kanak yang cedera telah dihantar ke hospital.
Kelmarin, empat kanak-kanak maut dalam kejadian runtuhan tembok di daerah Rewa di negeri itu. Kanak-kanak berkenaan, dalam lingkungan umur lima hingga tujuh tahun, sedang pulang dari sekolah apabila tembok runtuh menimpa mereka. Pemilik rumah yang dindingnya runtuh telah ditahan. – Xinhua