LIBREVILLE, 14 MAC – Sekurang-kurangnya sembilan orang, termasuk empat remaja, lemas di Gabon berikutan air pasang yang amat tinggi, kata kerajaan hari ini.
Pasukan penyelamat menemui mayat mangsa di pantai berhampiran ibu kota Libreville, kata Kementerian Dalam Negeri.
Tragedi itu berlaku disebabkan ‘peningkatan air pasang yang dikaitkan dengan perubahan iklim’, tambahnya.
Biasanya, air laut pasang di Libreville berubah antara 1.60 dan 1.80 meter, tetapi sejak Ahad, paras air telah melebihi 2.50 meter, kata perkhidmatan cuaca marin Selasa lalu.
Pinggir pantai Libreville merupakan tempat yang popular bagi pengunjung ketika suhu meningkat menjelang musim bunga ekuinoks, yang membawa air pasang yang lebih tinggi.
Walaupun amaran yang dikeluarkan, pantai Leon MBA High School, tempat di mana beberapa mayat ditemui, tetap terbuka dan tidak dipantau pada petang kelmarin, menurut seorang wartawan AFP yang meninjau keadaan di sana. – AFP


