KOTA KINABALU, 15 SEPT – Sembilan individu maut dalam dua kejadian tanah runtuh di Kota Kinabalu dan Papar pagi ini, susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda mengesahkan tujuh mangsa termasuk empat kanak-kanak ditemukan meninggal dunia selepas tertimbus dalam tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Inanam kira-kira 9:15 pagi.
Beliau berkata mangsa kanak-kanak terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara dua hingga sembilan tahun, manakala tiga lagi mangsa melibatkan dua wanita dan seorang lelaki berumur 25 hingga 50 tahun.
“Seramai 11 orang terlibat dalam kejadian itu dan empat lagi berjaya menyelamatkan diri dengan seorang daripadanya patah kaki,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, Mohd Pisar Aziz ketika dihubungi memberitahu pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10:02 pagi dan tiba ke lokasi pada 10:24 pagi yang terletak kira-kira 3km dari BBP Lintas.
“Seramai 24 anggota dari BPP Lintas dan BBP Tuaran berada di lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Di Papar, dua mangsa ditemukan maut selepas tanah runtuh menghempap rumah mereka di Kampung Mook pagi tadi. Mohd Pisar berkata mangsa terdiri daripada wanita berusia 38 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
“Kedua-dua mangsa dijumpai serta berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat selepas hampir empat jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya. – Bernama


