Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Seramai sembilan pekerja tempatan dari 35 buah premis perniagaan di kawasan Pusat Sunway, Bandar Seri Begawan telah didapati belum didaftarkan dan dicarumkan ke Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).
Lawatan daripada para pegawai pemeriksa Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan itu adalah bagi memastikan majikan-majikan sentiasa menjalankan tanggungjawab di dalam mendaftarkan dan membayar caruman SPK pekerja-pekerja mereka.
Setiap pekerja yang memenuhi persyaratan skim dimestikan untuk mempunyai simpanan persaraan untuk dimanfaatkan di hari persaraan mereka nanti.
Sementara itu, TAP ingin memaklumkan kepada majikan bahawa proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja telah dipermudahkan dengan hanya menggunakan perkhidmatan online TAP, e-Amanah.
Para majikan boleh melog masuk ke akaun portal e-Amanah masing-masing melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn dan tidak perlu lagi berurusan di kaunter-kaunter perkhidmatan TAP seperti sebelumnya.
Sehubungan itu, majikan diingatkan untuk menjalankan tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak iaitu pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat.
Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari dan pekerja di dalam tempoh percubaan.
Di bawah Bab 35 (1), Perintah Skim Persaraan Kebangsaan 2023 jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak lebih daripada $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih daripada $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Sebarang aduan atau maklumat bolehlah hubungi talian hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 730 2929 ataupun melalui emel di alamat enforcement@tap.com.bn.
