Oleh Sim Y. H.
SERIA, 30 Jan – Sembilan orang ahli Pengakap Muda, Pasukan Pengakap 3018, Maktab Anthony Abell (AAC), Seria telah menerima Lencana Keahlian Sedunia pada Majlis Penyampaian Lencana Keahlian Sedunia dan Kenaikan Pengakap Muda ke Pengakap Remaja yang berlangsung di Dewan AAC, baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, penyampaian lencana kepada empat orang pengakap lelaki dan lima orang pengakap perempuan berkenaan disempurnakan oleh Penolong Pemangku Pesuruhjaya Daerah Belait, Awang Jerry bin Junaidi dan Awang Muhammad Juli bin Abdullah @ Juli bin Buasan.
Acara kemuncak bagi majlis berkenaan ialah majlis kenaikan Pengakap Muda ke Pengakap Remaja di mana tiga orang pelajar Tahun 10 diraikan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil bagi Ujian Lencana Anugerah Advance Scout Standard kepada ahli-ahli pengakap yang telah menyertai dan berjaya lulus ujian semasa perkhemahan Ujian Lencana Anugerah Advance Scout Standard yang diadakan pada 31 November hingga 2 Disember 2018.
Penyampaian lencana berkenaan disempurnakan oleh Penolong Pemimpin Pasukan Pengakap 3018 AAC, Awang Radiman bin Haji Idris.
