Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembilan perusahaan belia terima bantuan kewangan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Sembilan perusahaan belia telah menerima bantuan kewangan keusahawanan dan kemudahan inkubator keusahawanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Ia merupakan komitmen berterusan kementerian dalam mendukung pembangunan ekosistem keusahawanan melalui penyediaan peluang serta platform keusahawanan melalui perancangan dan perlaksanaan program serta aktiviti khusus bagi golongan belia di negara ini.

    Bantuan kewangan berkenaan telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap di KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin, pada majlis yang berlangsung di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

    Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi berkata, bidang keusahawanan merupakan satu bidang kerjaya yang dapat membantu dalam mengurangkan pengangguran negara serta memberi alternatif kepada peluang pekerjaan.

    Bidang ini juga salah satu bidang yang berpotensi untuk dipelopori serta diterokai kerana ia merupakan salah satu usaha positif dalam memperkasa dan menjana pertumbuhan ekonomi negara serta dapat mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan di negara ini.

    Sesi bergambar ramai pada majlis pemberian bantuan keusahawanan berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Melihat akan kepentingan bidang keusahawanan ini, tambah beliau, KKBS mengalu-alukan kehadiran lebih ramai golongan belia tampil dan menyahut seruan kerajaan untuk melibatkan dan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, kerana bidang ini tidak hanya perlu diceburi oleh segelintir pihak tertentu sahaja tetapi biarlah ramai, kerana ramai itu menterjemahkan adanya kemajuan.

    Menurut beliau lagi, pemberian bantuan kewangan keusahawanan berkenaan antara lain dihasratkan dapat dijadikan sebagai insentif pemantauan dalam membantu memperkembangkan serta memacu pertumbuhan perusahaan-perusahaan golongan belia di negara ini.

    Di samping itu, rangkaian hubungan kerjasama melibatkan agensi-agensi lain dilihat sangat penting dalam memberikan nilai tambah, kualiti serta impak terhadap program yang dilaksanakan, tambah beliau.

    Pemberian bantuan kewangan keusahawanan berkenaan melibatkan tujuh buah syarikat yang mengikuti Youth Business Pitch 2022 dan dua buah syarikat yang mengikuti Program YDC Light’s On.

    Majlis turut diteruskan dengan penandatanganan surat penerimaan bantuan kewangan dan penyampaian sijil-sijil kepada para belia yang mengikuti Pertandingan Youth Business Pitch anjuran KKBS.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda