Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembilan siri latihan polis bantuan dirancang tahun depan

    KOTA KINABALU, 13 DIS – Sebanyak sembilan siri latihan polis bantuan dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun hadapan berikutan permintaan yang semakin meningkat, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Ama,n Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.

    Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan latihan dengan lebih kerap susulan permintaan daripada pelbagai agensi yang mahu melatih polis bantuan kerana pasukan berkenaan mempunyai kuasa-kuasa seperti polis berbanding pengawal keselamatan biasa tidak beruniform.

    “Kita tahu banyak permintaan daripada setiap agensi kerana polis bantuan ini dilihat lebih berkesan dan lebih dihormati oleh pekerja sekali gus memastikan keselamatan di kawasan berkenaan menjadi ketat dan selamat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7/2024 di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

    Sebanyak 193 anggota polis bantuan daripada 23 agensi yang menamatkan program latihan asas polis selama dua bulan menyertai upacara perbarisan itu. 

    Wan Hassan berkata kuota polis bantuan diberikan mengikut saiz syarikat atau agensi berkenaan.

    “Kita memang banyak permintaan…ia bergantung kepada kekosongan pusat latihan yang ada namun kita percaya dalam tempoh tiga tahun kita boleh penuhi permintaan daripada setiap agensi berkenaan.” – Bernama

    Polis Bantuan mengawal keadaan bagi memastikan keselamatan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) untuk ke destinasi masing-masing ketika tinjauan di Stesen MRT Pasar Seni kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda