Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembilan tertimbus dalam tanah runtuh akibat hujan lebat

    COX’S BAZAR, 19 JUN – Hujan lebat di Bangladesh telah mencetuskan tanah runtuh yang menimbus hidup-hidup sekurang-kurangnya sembilan orang dan memaksa ribuan yang lain melarikan diri ke tempat yang lebih tinggi, kata pegawai polis dan kerajaan hari ini.

    Sekolah telah dijadikan tempat perlindungan bagi mereka yang meninggalkan rumah yang ditenggelami air sungai, manakala lebih sejuta orang telah terkandas di kawasan utara.

    “Sekurang-kurangnya 700,000 orang telah terkandas akibat banjir kilat dan hujan lebat di daerah Sylhet, dan 500,000 orang lagi di daerah Sunamganj yang berdekatan,” beritahu Abu Ahmed Siddique, pesuruhjaya daerah Sylhet timur laut Bangladesh, kepada AFP.

    Mereka yang terkorban dalam runtuhan tanah berada di daerah tenggara Cox’s Bazar.

    Lapan daripadanya adalah pelarian Rohingya dari negara jiran Myanmar dan seorang lagi dari Bangladesh, kata Amir Jafar, pegawai polis yang mengawal keselamatan di kem tersebut.

    “Mangsa sedang tidur di tempat perlindungan mereka apabila hujan lebat semalaman mencetuskan tanah runtuh di lima tempat di kawasan kem. Mereka tertimbus di bawah lumpur,” kata Jafar kepada AFP.

    “Lebih 17,000 orang telah dibawa ke tempat perlindungan di daerah Sylhet sahaja,” kata pegawai kanan kerajaan tempatan, Sheikh Russel Hasan, sambil memberi amaran paras air sungai masih meningkat.

    Towhidul Islam, Ketua Pegawai Tadbir Gowainghat, memberitahu AFP paras air sungai telah naik dua sentimeter dalam tiga jam pertama selepas subuh dan keadaan akan menjadi lebih teruk jika hujan tidak berhenti dan paras air terus meningkat. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda