Thursday, January 9, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Semen beracun’ dari nyamuk jantan boleh cegah penyebaran penyakit

    SYDNEY, 8 JAN – Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications oleh para penyelidik kelmarin menyatakan bahawa nyamuk yang diubah suai secara genetik untuk menghasilkan semen beracun boleh menjadi senjata baharu melawan penyakit tropika, selepas menjalankan percubaan kaedah kawalan serangga inovatif itu.

    Teknik tersebut, dikenali sebagai ‘teknik jantan beracun’, bertujuan membiakkan nyamuk yang menghasilkan protein beracun dalam semen nyamuk, sehingga membunuh nyamuk betina selepas mengawan.

    Nyamuk betina menjadi sasaran kerana ia hanya menggigit dan menghisap darah, menyebabkan penularan penyakit seperti malaria dan demam denggi.

    Menurut Saintis Sam Beach dari Universiti Macquarie Australia, kaedah itu ‘berpotensi berfungsi sama cepat seperti racun serangga tanpa membahayakan spesies lain’.

    “Penyelesaian inovatif ini mampu mengubah cara kita menguruskan serangga perosak, memberikan harapan kepada komuniti yang lebih sihat dan masa depan yang lebih mampan,” katanya.

    Gambar Envato

    Percubaan awal menggunakan lalat buah, spesies makmal yang sering digunakan kerana kitaran hayatnya yang pendek selama dua minggu.

    Hasil kajian menunjukkan lalat betina yang mengawan dengan jantan ‘beracun’ mengalami jangka hayat yang jauh lebih pendek.

    Penyelidik Maciej Maselko berkata pasukannya kini akan menguji kaedah itu pada nyamuk.

    “Kami perlu menerapkan kaedah ini pada nyamuk dan menjalankan ujian keselamatan yang ketat untuk memastikan tiada risiko kepada manusia atau spesies lain yang tidak menjadi sasaran,” jelasnya.

    Para penyelidik menjelaskan bahawa nyamuk perlu diubah suai secara genetik supaya semen beracun hanya dihasilkan apabila mereka dilepaskan ke alam liar.

    Hal itu boleh dilakukan melalui teknik ‘isyarat ekspresi’, yang menggunakan bahan kimia atau pencetus biologi lain untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan gen tertentu.

    Dengan kaedah itu, nyamuk jantan beracun boleh mengawan dengan nyamuk betina dalam makmal, menghasilkan keturunan yang mencukupi untuk skala yang lebih besar.

    Selama bertahun-tahun, kejuruteraan genetik telah digunakan untuk mengawal populasi nyamuk penyebar penyakit, lazimnya dengan melepaskan nyamuk jantan yang dimodifikasi secara genetik untuk menjadi mandul. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda