Semenanjung Damai bakal jadi tarikan pelancong ke Sarawak

KUCHING, 24 OKT – Kisah legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang begitu sinonim dengan Sarawak merangkumi segala ramuan yang tepat untuk menjayakan sesebuah sinetron, drama, mahupun lipur lara waktu perdana.

Kisah persaingan sengit dan sikap cemburu antara dua puteri ‘kayangan’ kerana merebut cinta seorang putera raja menjadi tema utama cerita yang berakhir dengan Santubong disumpah menjadi Gunung Santubong.

Cerita rakyat popular yang diperturunkan dari generasi ke generasi Sarawak ini begitu sinonim dengan Semenanjung Damai (Santubong), yang terletak sekitar 35 Kilometer (KM) dari ibu negeri Sarawak, Kuching.

Di Semenanjung Damai ini, terletaknya Gunung Santubong setinggi 810 meter yang dikurniakan dengan keindahan pantai yang indah dan hutan hujan tropika, menjadikannya antara destinasi pelancongan terkenal di Sarawak.

Potensi semula jadi yang ada ini telah mendorong kerajaan negeri untuk terus melabur dalam membangunkan kawasan Semenanjung ini melalui pelan bagi membina sebuah resort peranginan mega, dikenali sebagai projek Damai Resort City yang bakal mengubah wajah kawasan pantai yang popular itu.

Projek itu akan merangkumi resort baharu, denai hutan dan kemudahan ‘trekking’, kawasan kesihatan dan kecantikan, marina dan hartanah komersial di bawah tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC). – Bernama