Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seminar AI perkukuh transformasi digital sektor awam

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT- Dengan matlamat untuk mengetengahkan elemen transformasi digital dan inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam, Institut Perkhidmatan Awam telah menganjurkan satu seminar, AI in the Public Sector: Learning from Best Practices, yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, kelmarin.

    Seminar itu juga dihasratkan untuk menekankan penggunaan aplikasi AI yang boleh meningkatkan kecekapan dan memudahkan proses kerja harian serta berkongsi isu semasa dan amalan terbaik yang berkaitan dengan inovasi, transformasi digital dan AI dalam tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

    Seminar telah menghimpunkan lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada sektor kerajaan, institusi pengajian tinggi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

    Seminar berkenaan menampilkan dua pembentangan daripada pakar dan pengamal antarabangsa dalam bidang AI dan tadbir urus iaitu gandingan bersama Sigrit Siht dan Adhele Tuulas dari Estonia dengan penyampaian bertajuk, Deep Dive into Making AI Work in the Government of Brunei dan diikuti dengan pembentangan bertajuk, AI and Performance Management, oleh Profesor Prajapati Trivedi dari India.

    Para peserta seminar bergambar-ramai dengan pembentang-pembentang.

    Semua penyampai turut mengongsi beberapa templat kaedah berkaitan tajuk bagi tujuan perancangan dan pengurusan pihak berkepentingan.

    Berikutan pembentangan, sesi Soal Jawab interaktif diadakan yang memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan para pembentang mengenai peluang dan cabaran berkaitan penggunaan AI dalam tadbir urus.

    Seminar berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Brunei Darussalam dalam memperkukuhkan keupayaan sektor awam melalui inovasi, perkongsian ilmu, dan kerjasama antarabangsa.

    Dengan memperoleh pengetahuan mendalam berhubung amalan terbaik global, negara berhasrat mempercepatkan transformasi digital sambil memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berpaksikan rakyat.

    Program itu juga menekankan komitmen Institut Perkhidmatan Awam dalam melaksanakan inisiatif pembangunan kapabiliti serta memupuk kesiapsiagaan digital bagi menyokong agenda transformasi sektor awam Negara Brunei Darussalam.

    Pembentangan yang dibuat oleh pakar dan pengamal antarabangsa dalam bidang AI dan tadbir urus.
    GAMBAR-GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda