Wednesday, October 2, 2024
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Mastera dirasmikan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 02 OKT – Majlis Perasmian Sidang Ke-28 Mastera, Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT), Festival Teater Mastera (Apresiasi Naskhah Drama) dan penyampaian Anugerah Sastera Mastera Ke-7, 2024 telah dirasmikan dengan sempurna di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan perasmian majlis dan pelancaran buku-buku baharu terbitan DBP serta menyampaikan pengiktirafan Anugerah Sastera Mastera Ke-7, 2024 ialah Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (KBS), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda hadir sebagai tetamu kehormat majlis berkenaan.

    Majlis berkenaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah DBP and juga selaku Pemangku Pengerusi Mastera Brunei Darussalam, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit diikuti dengan ucapan Yang Berhormat Dato Menteri Pembangunan.

     Dayang Hajah Haireni menyamapikan ucapan alu-aluan.

    Yang Berhormat Dato Menteri berkata, penubuhan Mastera yang sudah pun mencapai 29 tahun itu mempunyai hala tuju yang jelas dan penting, iaitu bagi merapatkan hubungan, pengertian dan kerjasama kesusasteraan negara-negara anggota dalam usaha memajukan kesusasteraan serantau menjadi sastera dunia yang berwibawa.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juan menyampaikan ucapan.

    Yang Berhormat Dato Menteri turut menyarankan agar Mastera menggandakan usaha mempromosi semua produk Mastera agar penyebarannya mencapai ke luar dari anggota Mastera, malah peringkat antarabangsa dalam ledakan teknologi informasi dan komunikasi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda menyempurnakan perasmian majlis tersebut.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda menyempurnakan pelancaran buku di majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Majlis diteruskan dengan pengumuman empat tokoh penerima Anugerah Sastera Mastera Ke-7 oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KBS dan juga selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Panel Penilai Pusat Anugerah Sastera Mastera Ke-7, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah diikuti dengan penyampaian anugerah berkenaan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Penerima-penerima anugerah berkenaan bagi setiap negara ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (Badaruddin H.O.) bagi Negara Brunei Darussalam, Taufiq Gaffar Ismail (Taufiq Ismail) bagi Indonesia; Yang Berbahagia Sasterawan Negara (SN) Dato’ Seri (Dr.) Abdul Samad bin Mohamed Said bagi Malaysia dan Djamal Tukimin (Djamal Tukimin) bagi Singapura.

    Menurut kenyataan, Anugerah Sastera Mastera merupakan projek pengiktirafan Mastera Brunei Darussalam yang dianugerahkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai tanda sokongan, dukungan dan pengiktirafan kepada tokoh-tokoh penulis yang diiktiraf di peringkat rantau Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).

    Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan daripada para penerima anugerah dan disambung dengan lawatan ke pameran mini Mastera.

    Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan; Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan;  ketua-ketua dan perwakilan negara anggota Mastera, mantan-mantan pengarah dan timbalan pengarah DBP, tokoh-tokoh penulis sastera, serta persatuan dan penggiat seni sastera, bahasa dan budaya di Negara Brunei Darussalam.

    Majlis Perasmian turut dijayakan oleh syarikat-syarikat penaja iaitu Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Kumpulan PUTRA Seni (KPS), Syarikat Little Ummi dan Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda