Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), UNISSA berkerjasama dengan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) mengadakan Seminar Antarabangsa Perundangan Islam dalam Masyarakat Kontemporari 2021 (ISLAC 2021) secara dalam talian, hari ini.
Seminar bertemakan Kesejagatan Perundangan Islam dalam Menongkah Arus Pandemik COVID-19 dan Norma Baharu itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham bin Abdullah.
Dalam seminar berkenaan, kertas perdana telah di sampaikan oleh Mantan Mufti Mesir, Sheikh Ali Jum’ah Muhd Abdul Wahhab.
Manakala empat ucaptama turut disampaikan oleh Profesor Dr Kamarulzaman Yusof dari UTM, Malaysia; Pengarah Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Negara Brunei Darussalam, Haji Hardifadhillah bin Mohd Salleh; Dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam, UIAM, Profesor Dr Rusni binti Hassan; Pensyarah dan Pengarah Pejabat Wakaf dan Infaq UNISZA, Profesor Madya Dr Engku Muhd Tajuddin bin Engku Ali.
Turut hadir ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, pegawai-pegawai utama UNISSA dan UNISZA, pensyarah-pensyarah, pegawai-pegawai kerajaan dan swasta dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.
Seminar selama dua hari itu telah mendapat sambutan 59 pembentang kertas kerja terdiri dari golongan profesional khususnya ahli akademik, institusi kerajaan dan swasta, para penyelidik dan badan bukan kerajaan (NGO).
Antara objektif seminar diadakan adalah bagi mengenal pasti isu-isu kontemporari umat Islam di Malaysia dan antarabangsa dalam suasana COVID-19 masa kini di samping membincangkan isu-isu kontemporari COVID-19 daripada pelbagai perspektif perundangan Islam masa kini.
Manakala objektif yang lain pula adalah untuk berkongsi hasil penyelidikan dan dapatan kajian para ahli akademik, sarjana Islam serta pemain industri yang dapat mencetuskan idea-idea baharu dalam menyelesaikan dan memperkasakan perundangan Islam dalam situasi dan pasca COVID-19 serta meningkatkan jaringan dan kolaborasi penyelidikan antara UNISSA dan UNISZA.
