Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seminar bincang teknik penambahbaikan ADR

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Pusat Timbangtara Brunei Darussalam (BDAC) dengan kerjasama HLR Law telah menganjurkan seminar perantaraan secara bersiri di Pejabat BDAC, Jalan Kumbang Pasang, di sini, baru-baru ini.

    Seminar menghimpunkan seramai 40 peserta secara dalam talian dan fizikal dari Brunei, Singapura, Indonesia dan United Kingdom (UK).

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan acara berkenaan ialah Pengarah BDAC, Haji Ahmad Nizam bin Dato Paduka Haji Ismail.

    Dalam ucapan perasmiannya, Haji Ahmad Nizam berkata, matlamat kolektif acara itu adalah untuk meneroka dan memahami kuasa transformatif perantaraan dan perantaraan bukan sekadar alat, tetapi jambatan kepada pemahaman, empati dan resolusi yang berkekalan.

    Para penceramah terdiri daripada penceramah tempatan dan antarabangsa dari Australia, Bangladesh, Singapura, Kanada dan UK daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran. Ahli-ahli panel mengongsikan amalan-amalan terbaik dan teknik pengurusan konflik seperti pertikaian personal injury, pembangunan dan keluarga.

    Gambar ramai semasa seminar berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BDAC

    Seminar berkenaan telah membuka peluang untuk bertukar pendapat dan idea antara ahli panel dan peserta mengenai teknik-teknik penambahbaikan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) di Brunei dan mengukuhkan hubungan dengan kedua-dua sektor swasta dan awam ke arah meningkatkan akses kepada keadilan.

    Kaedah perantaraan sebagai salah satu mekanisme penyelesaian pertikaian mempunyai banyak kelebihan kepada pihak yang bertikai. Antaranya adalah pengawalan proses perantaraan yang dipegang oleh pihak yang bertikai, dan ini memberi peluang untuk pihak yang bertikai untuk menyelesaikan pertikaian secara baik dan teratur.

    Dalam pada itu, para peserta juga berkesempatan untuk membuat lawatan dan mengalami bagaimana perbicaraan timbang tara dan sesi perantaraan dijalankan.

    Siri seminar perantaraan adalah acara pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh BDAC dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai perantaraan dan sebagai sebahagian daripada usaha BDAC untuk menjadi tempat pilihan bagi penyelesaian pertikaian bagi pertikaian komersial dan bukan komersial.

    Dengan adanya seminar berkenaan, BDAC berharap ia boleh menjadi acara asas yang memperjuangkan perantaraan sebagai alat penting dalam menyelesaikan pertikaian di seluruh spektrum di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda