Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – ManageEngine, bahagian pengurusan IT perusahaan Zoho Corporation, menandakan kemasukan rasminya ke pasaran Brunei apabila menganjurkan acara pertama iaitu seminar bertajuk The Brunei Chapter 2025: Unfurling Digital Transformation with ManageEngine yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Acara yang dianjurkan dengan kerjasama Concepts Technologies, rakan kongsi sah ManageEngine di Brunei, menyaksikan seminar dihadiri oleh lebih 80 ahli profesional IT daripada kementerian kerajaan, institusi kewangan, pertubuhan pendidikan serta perusahaan swasta unggul dari seluruh negara.
Acara itu menumpukan kepada dua tema kritikal iaitu Adopting a unified service and endpoint management approach dan Creating a culture of security with ManageEngine yang bermatlamat untuk menyediakan gambaran mengenai bagaimana organisasi dapat memodenkan infrastruktur IT dan mengguna pakai amalan terbaik global dalam urus tadbir digital serta sekuriti siber.
Naib Presiden ManageEngine, Arun Kumar menyatakan, “Pendekatan kami untuk berkembang ke Brunei adalah sangat strategik dan dipacu oleh rakan kongsi kami. Kami membuat pelaburan untuk membolehkan, melatih dan memperakui rakan kongsi kami, yang akhirnya menambah nilai kepada pelanggan akhir kami.”
Beliau menekankan lagi bahawa melalui aktiviti kolaboratif seperti seminar, bengkel dan pensijilan, yang kesemuanya dianjurkan dengan bantuan rakan kongsinya, mereka berhasrat untuk membawa masuk kepakaran global dan amalan terbaik.
“Acara ini merupakan salah satu contoh pengembangan jejak tempatan kami dan menunjukkan komitmen terhadap pasaran,” ulasnya lagi.
Sementara itu, Concepts Technologies selaku rakan kongsi sah pertama ManageEngine di Brunei, menyatakan komitmennya untuk bantu organisasi dalam negara untuk mengukuhkan asas digital serta pendirian sekuriti siber melalui penyelesaian IT bertaraf dunia.
Pengurus Besar Kumpulan Concepts, Vincent Pao menyatakan amat berbesar hati berpeluang untuk bekerjasama dengan ManageEngine untuk membawakan penyelesaian pengurusan IT gred-perusahaan ke Brunei.
“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran dan daya tahan keselamatan siber merentasi sektor kerajaan dan swasta, ” ujar Vincent.
Acara itu menandakan sebuah mercu tanda penting dalam strategi perkembangan serantau bagi ManageEngine dan mengesahkan lagi misinya untuk menyampaikan penyelesaian pengurusan IT yang siaga masa depan, efisien dan selamat bagi keperluan pasaran tempatan.





