Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Majlis Olimpik Asia (OCA) akan menganjurkan Seminar Ekuiti Gender OCA ke-2 di Negara Brunei Darussalam sebagai negara tuan rumah dari 14 hingga 15 April ini.
Acara yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC), dengan sokongan logistikal yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu akan diadakan di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei.
Tema seminar pada tahun ini, Watch Her Shine, bertujuan untuk memperkasa dan mempromosikan kesaksamaan gender dalam sukan di seluruh Asia.
Seminar tersebut terbuka kepada semua 45 Majlis Olimpik Kebangsaan (NOC) Asia khususnya menyasarkan ahli Secretary Generals dan Women in Sport dari setiap NOC.
Pada masa ini, pihak penganjur berbesar hati untuk mengumumkan bahawa terdapat 88 peserta daripada 43 NOC mengesahkan akan menyertai perhimpunan dalam seminar tersebut.
Seminar itu akan menampilkan barisan 19 orang penceramah yang mengagumkan daripada pelbagai pihak organisasi termasuk Jawantankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), UN Women, Oceania IOC dan Kumpulan Kerja Antarabangsa (IWG). Tokoh-tokoh terkemuka itu akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka tentang memajukan kesaksamaan gender dalam sukan.
Seminar berkenaan turut akan diserikan dengan 10 orang tetamu daripada OCA, termasuk Ahli Lembaga Eksekutif Kehormat OCA dan ahli Jawatankuasa Ekuiti Gender OCA di mana mereka akan menggariskan komitmen OCA ke arah memupuk persekitaran sukan untuk wanita dengan lebih inklusif.
Bengkel berkenaan akan dijalankan melalui metodologi komprehensif yang direka untuk memaksimumkan hasil pembelajaran, penglibatan dan praktikal. Ia akan merangkumi satu siri pakar pembentangan yang menyediakan pengetahuan asas dan pandangan strategik tentang isu-isu ekuiti gender dalam sukan.
Berikutan pembentangan itu, perbincangan panel akan menampilkan pemimpin dan pihak berkepentingan yang terhormat dalam ekuiti gender yang akan membolehkan para peserta untuk berkongsi perspektif dan pengalaman yang pelbagai.
Seminar Ekuiti Gender OCA julung kalinya telah diadakan di Manama, Bahrain pada tahun 2022 sebagai preseden untuk perbincangan masa depan tentang kesaksamaan gender dalam sukan.
Dalam membina asas itu, seminar yang akan datang menjanjikan pengalaman yang memperkaya untuk semua peserta kerana mereka akan melibatkan diri dalam dialog yang bermakna dan usaha kolaboratif yang bertujuan mempertingkatkan peluang untuk wanita dalam sukan di seluruh Asia.