Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Bank Baiduri dengan kerjasama Credit Agricole Corporate and Investment Bank, menganjurkan seminar eksklusif di Ruang Komuniti Baiduri untuk meneroka trend dan penyelesaian modal kerja dalam Kewangan Perdagangan.
Acara itu memenuhi keperluan syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) dan syarikat sederhana hingga besar yang beroperasi dalam sektor minyak dan gas, borong dan pembinaan. Ia bertujuan untuk melengkapkan peserta dengan strategi lanjutan bagi pengurusan kewangan perdagangan.
Seminar itu membincangkan landskap yang berubah dalam penyelesaian kewangan perdagangan yang penting untuk pasaran kompleks hari ini.
Objektif acara tersebut adalah bagi memberikan pandangan tentang rantaian bekalan dan pembiayaan receivables, membolehkan peserta kekal dimaklumkan tentang trend dan cabaran semasa, mengoptimumkan pengurusan aliran tunai dan mempercepatkan kitaran penukaran tunai.
Dalam pada itu, Ketua Perbankan Korporat dan Kewangan Perdagangan di Bank Baiduri, Leonard Lee, berkata Bank Baiduri komited untuk mempertingkatkan penyelesaian perbankan korporat mereka dengan menyampaikan inisiatif perkongsian pengetahuan yang memperkasakan pelanggan bank tersebut.
“Seminar ini mencerminkan dedikasi kami untuk berkhidmat sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk pelanggan kami, menawarkan penyelesaian kewangan perdagangan yang disesuaikan bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin canggih,” tambahnya.
Seminar itu menampilkan Pengarah, Kewangan Perdagangan Antarabangsa dan Perbankan Transaksi di Credit Agricole Corporate and Investment Bank, Desmond Lim, yang berkongsi pandangan daripada kerjayanya selama 30 tahun dalam perdagangan antarabangsa dan perbankan transaksi.
Pembentangannya merangkumi dua bidang utama iaitu Supply Chain Financing dan Receivables Financing, direka untuk memperdalam pemahaman umum tentang bagaimana produk kewangan perdagangan berstruktur itu boleh menangani cabaran perniagaan tertentu.
Dengan kemunculan produk kewangan yang canggih di ASEAN, Bank Baiduri terus berinovasi dalam perkhidmatan perbankan korporat, meletakkan dirinya sebagai rakan kongsi terkemuka untuk perniagaan di Brunei dan seterusnya.
Dengan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang penyelesaian kewangan perdagangan, bank berkenaan juga memastikan pelanggan dilengkapi dengan alat praktikal seperti pembiayaan rantaian bekalan yang fleksibel dan responsif untuk menyokong objektif pertumbuhan selain berkembang maju dalam landskap kewangan yang sentiasa berkembang.