Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seminar Kebangsaan Arkib kongsi maklumat bernilai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Dalam mendukung usaha Arkib Negara untuk menyebarkan ilmu dan maklumat bernilai sejarah kenegaraan serta menjadi sebuah institusi penyelidikan negara, Jabatan Muzium-Muizum melalui Arkib Negara Brunei Darussalam (ANBD) dengan kerjasama Pusat Pengajian Islam Sultan Omar’ Ali Saifuddien (SOASCIS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Seminar Kebangsaan Arkib 2023 di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian seminar sehari itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah. Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; Pemangku Pengarah Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus; Pengarah SOASCIS, Dr Mohd Hairul Azrin bin Haji Besar dan para peserta seminar yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan serta tenaga akademik dari institusi pengajian tinggi awam, pegawai dan kakitangan KKBS.

    Dalam kata alu-aluannya, Pengiran Haji Rosli menyatakan bahawa seminar yang membawa tema Arkib dan Masa Depan itu diharap dapat menarik golongan profesional, penyelidik dan pihak berkepentingan yang lain untuk memelihara dan mengkaji bahan-bahan arkib yang mempunyai nilai kebangsaan dan sejarah.

    Seminar itu, tambahnya, menjadi landasan bagi pertukaran pendapat dan interaksi antara golongan profesional, penyelidik, penggubal dasar dalam memahami kepentingan arkib negara sebagai repositori rekod sejarah.

    Pengiran Haji Rosli juga menyatakan bahawa seminar itu diharap akan menjadi titik tolak untuk berkongsi pengetahuan, hasil penyelidikan, amalan terbaik dalam bidan arkib dan memupuk banyak lagi kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan dalam mempromosikan kepentingan memelihara warisan sejarah kita untuk generasi akan datang.

    Dr Siti Norkhalbi, TYT Profesor Dr Hamit Ersoy, Dr Hazri, Pengiran Haji Rosli, Dr Mohd Hairul Azrin dan antara peserta yang hadir semasa seminar berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara peserta yang hadir semasa seminar berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Dalam seminar berkenaan, TYT Profesor Dr Hamit Ersoy telah menyampaikan pembentangan perdana bertajuk Preservation of Turkish Archives and its impact on the vision of Turkiye di mana beliau mengongsi mengenai usaha pemuliharaan bahan arkib di Turkiye dan berkongsi sama mengenai bidang kearkiban.

    Seminar itu juga menyaksikan pembentangan daripada Pensyarah SOASCIS UBD, Dr Senad Mrahorovic dengan tajuk Rasail by Abdullah Al-Bosnawi – An Unpublished Manuscript dan Pensyarah SOASCIS UBD, Dr Khalil Ahmad dengan tajuk Al-Quran – The Preserved and Everlasting Source of Knowledge. Di samping itu, seminar turut diisikan dengan pembentangan mengenai peranan ANBD, pengurusan rekod, pemeliharaan dan pemuliharaan kertas.

    Turut diketengahkan adalah pameran yang disertai oleh ANBD, SOASCIS dan Kedutaan Besar Republik Turkiye di Negara Brunei Darussalam.

    Pameran memperlihatkan warisan budaya, sejarah dan kepentingannya kepada masa depan sesebuah negara. Seminar Kebangsaan Arkib 2023 bermatlamat untuk menjadi landasan bagi pertukaran pendapat dan interaksi antara golongan profesional, penyelidik, penggubal dasar dalam memahami kepentingan arkib negara sebagai repositori rekod sejarah, dokumen dan bahan-bahan yang lain, memberikan peluang kerjasama kepada semua dalam memelihara warisan budaya, sejarah dan kepentingan kepada masa depan negara serta meningkatkan kesedaran dan kepentingan pengurusan rekod dalam kalangan penjawat awam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda