Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Seminar Kefahaman Akidah dan Pemikiran Semasa 2018 (SEKAPES) anjuran Pusat Pengajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah dan Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diteruskan lagi hari ini dengan mengetengahkan isu-isu berkaitan dengan akidah semasa serantau.
Seminar yang diadakan selama dua hari itu diadakan di Dewan Serba Guna KUPU SB di ibu negara.
Sepanjang seminar berkenaan diadakan, beberapa kertas kerja telah dibentangkan oleh panel undangan antaranya ialah kertas kerja utama I yang bertajuk ‘Pendekatan Manhaj Nusantara Kerangka Ahli Sunnah Waljama’ah Dalam Menangani Gerakan Leberalis dan Pelampau Agama’ yang telah disampaikan oleh Mejar (K) Profesor Madya Dr Mohd Mizan bin Mohd Aslam. Beliau dalam kertas kerjanya itu menghurai dan membahaskan tiga tema utama iaitu akidah dan akhlak, akal logik dan intelektualisme dan cabaran pemikiran semasa.
Pada bahagian awal kertas kerjanya, beliau membicarakan mengenai pegangan berakar umbi Melayu, Islam dan Beraja atau Manhaj Nusantara. Selain itu beliau juga mengetengahkan ancaman terbesar bagi masyarakat Islam Nusantara iaitu pelonggaran dan penyempitan tafsiran agama sehingga rapuhnya akar umbi keagamaan yang sekali gus telah melahirkan fenomena ekstrem dan tertutup.
“Manhaj Nusantara yang terbina kukuh sejak berkurun lalu cuba dihakis oleh anasir moden yang membawa pendekatan Islam secara mudah dan rapuh atau liberal, natijahnya Islam bawaan kelompok ini menjadi celaru dan haru-biru,” jelasnya.

Oleh itu, Manhaj Nusantara yang berpaksikan akal budi (qalb), kebijaksanaan (hikmah) dan kesederhanaan (wasatiyyah) adalah senjata ampuh untuk memelihara dan seterusnya memperkukuhkan Melayu, Islam dan institusi Raja. Malah keagungan Melayu Islam di rantau ini pada masa hadapan juga akan bertunjangkan Manhaj Nusantara yang telah terbukti kejayaannya, tambahnya lagi.
Sementara itu, kertas kerja utama II dengan tajuk ‘Beberapa Kefahaman Yang Menyalahi Prinsip Akidah Ahli Sunnah Waljama’ah’ pula telah dibentangkan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.
Beliau dalam kertas kerjanya itu menekankan agama Islam sebagai sebuah agama yang murni lagi benar di sisi Allah S.W.T yang meliputi akidah, syariah dan akhlak. Menurutnya, akidah merupakan perkara yang berkait dengan perkara keimanan yang juga menjadi pokok dalam menentukan hala tuju dan kedudukan pegangan agama seseorang.
Beliau juga seterusnya menyentuh mengenai pegangan atau kepercayaan yang menolak atau menafikan unsur-unsur keimanan yang menyebabkan individu berkenaan terkeluar daripada kriteria penganut agama Islam yang sebenar.
“Sekarang ini sudah timbul kerisauan akibat wujudnya kefahaman yang pelbagai di kalangan umat Islam,” tambahnya.
Beliau menambah antara punca berlakunya perkara sedemikian ialah berlakunya kesilapan dalam memahami isu-isu agama termasuk dalam bidang akidah. Perkara berkenaan perlu ditangani secara teratur dengan memberi penjelasan yang betul bagi mengelak krisis yang sedang dihadapi akan menjadi lebih buruk.
Seminar berkenaan juga membentangkan kertas kerja jemputan I, II, dan III daripada Penasihat Akademik Univer-siti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Emeritus Datuk Dr. Sayyed Muhammad Aqiel bin Ali Al-Mahdaly dan Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Syariah Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Saharuddin bin Haji Patra dengan tajuk ‘Memperkukuh Akidah Ahli Sunnah Waljama’ah (Perkara Sam’iyyat) Melalui Kaedah-kaedah Pengajaran’.
Juga dibentangkan ialah kertas kerja bertajuk ‘Kekeliruan Memahami Bid’ah dan Penjelasannya Menurut Ahli Sunnah Waljama’ah’ oleh Pegawai Ugama Fakulti Usuluddin, KUPU SB, Dr. Haji Matussein bin Haji Jumat. Manakala seminar pada hari ini telah membentangkan kertas kerja utama III oleh Mantan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman yang bertajuk ‘Akidah Ahli Sunnah Waljama’ah Asas Kesejahteraan Negara’ dan kertas kerja IV oleh Pena-sihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Haji Noh bin Gadut dengan tajuk ‘Pengukuhan Pendekatan Wasatiyyah Dalam Menangani Isu Pelampau Agama’.
Seminar berakhir dengan pembentangan dua kertas kerja yang disampaikan Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dengan tajuk ‘Kekuatan Ahli Sunnah Waljama’ah di Bawah Naungan Pemerintahan Cemerlang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (1967- 2018).’