Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seminar kongsi gaya kepimpinan Rasulullah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Seramai 50 orang telah menyertai Seminar Tip Memimpin Sehebat Rasulullah SAW yang berlangsung di Dewan BMCC Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS), petang kelmarin.

    Seminar yang dianjurkan oleh Al-Minhaj Centre tersebut diadakan bagi mempromosikan kehebatan gaya kepimpinan Rasulullah SAW dari aspek individual, berkeluarga, berorganisasi dan bermasyarakat sebagai model peranan di samping bagi menambahkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

    Antara barisan panel fasilitator pada seminar sehari tersebut ialah Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Hilman bin Haji Salim; Penolong Pensyarah KUPU SB, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak; Penceramah Bertauliah dari Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Khairul Mu’az bin Haji Sibodaud; dan tenaga pengajar Al-Minhaj Centre, Dayang Nasriah binti Ruslan.

    Seminar berkenaan antara lain membincangkan empat bahagian gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad kepada umat Islam khususnya dan kepada seluruh manusia amnya bermula dengan kepimpinan untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan seterusnya organisasi.

    Pada bahagian pertama seminar berkenaan antara lain menyentuh mengenai bagaimana cara untuk memimpin diri sendiri sebelum menjadi pemimpin terhadap orang lain. Setiap manusia ialah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas yang orang-orang dipimpinnya.

    Gambar ramai para peserta semasa seminar berkenaan.- Gambar serahan Al-Minhaj Centre
    Ustaz Hilman dan Ustaz Abdul Rahman semasa seminar berkenaan diadakan.

    Sementara itu, dalam bahagian kedua, seminar itu telah menyentuh mengenai bagaimana cara untuk memimpin keluarga. Setiap anggota keluarga adalah berperanan dalam memastikan matlamat pembentukan keluarga sakinah, mawaddah dan warahmah itu tercapai.

    Pemimpin dalam keluarga merupakan nakhoda yang menerajui sesebuah pelayaran bahtera kekeluargaan yang memerlukan hikmah dan kebijaksanaan.

    Manakala, pada bahagian ketiga, seminar membincangkan mengenai cara untuk memimpin sesebuah organisasi. Sebagai pemimpin sesebuah pertubuhan atau kumpulan, pasti akan menghadapi banyak cabaran, karenah dan masalah.

    Baginda adalah contoh yang paling ideal untuk dijadikan ikutan sebagai pemimpin.

    Bahagian terakhir pula mengupas mengenai tatacara untuk menjadi pemimpin terhadap sesebuah masyarakat.

    Masyarakat yang cemerlang dan berjaya adalah hasil daripada pimpinan seorang pemimpin yang hebat lagi soleh. Gaya kepimpinan Baginda telah membuktikan keberhasilan yang tidak dapat dinafikan lagi keunggulannya.

    Beberapa hadis Baginda juga turut dibahaskan berserta pendapat-pendapat ulama dan pakar mengenainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda