Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Seminar yang diadakan bersempena dengan Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) 2025 anjuran Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan kerjasama Brunei LNG Sdn Bhd diteruskan pada hari terakhir hari ini di bawah tema Building Bridges Between Innovators, Industry and Institutions.
Seminar yang berlangsung di di Teater Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan, UTB itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2025 di bawah Teknologi dan Inovasi.
Hadir selaku tetamu kehormat, Penolong Naib Canselor (Perhubungan Luar dan Industri) UTB, Dr Mohamad Saiful bin Haji Omar.
Seminar dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Jawatankuasa Seminar CIPTA 2025, Dr Ismawi bin Haji Mohd Yusof.
Acara seterusnya menyaksikan sesi perkongsian bertajuk Spreading the Winning Vibes dengan menampilkan pembentangan daripada pemenang-pemenang teratas pertandingan Anugerah CIPTA DPMM 2025, termasuk Kategori 1 (Mencipta Produk, Proses atau Teknologi Baharu) oleh Dayang Fatin Nuratikah binti Haji Asbi dari UTB; Kategori 2 (Pengubahsuaian Produk, Proses atau Teknologi Sedia Ada) oleh Dr Law Kah Haw dari UTB; Kategori 3 (Mencipta Baharu atau Mengubah suai Produk, Proses atau Teknologi Sedia Ada oleh Pencipta Muda) oleh Lee Jing Jing dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan; dan Kategori Junior Pintar oleh Callum Singh Sekhon dari Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait. Manakala Penolong Profesor Kanan, Bahagian Program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, UTB, Dr Md Motiar Rahman selaku moderator.

Sesi perkongsian menerusi pembentangan berkenaan telah menyediakan para hadirin dengan pandangan berharga tentang penyelesaian inovatif yang dibangunkan oleh para peserta dan berfungsi sebagai sumber motivasi. Acara diteruskan dengan sesi soal jawab, dengan memberi peluang para hadirin untuk terlibat secara langsung bersama pembentang-pembentang.
Program diteruskan dengan forum bertajuk Pave Way Forward with Stakeholders dengan menghimpunkan beberapa penceramah utama dari pelbagai institusi dan industri dengan Timbalan Ketua Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2025, Pengiran Dr Haji Azhan bin Pengiran Haji Ahmad selaku moderator.
Pembentangan pertama memfokuskan kepada kajian kebolehlaksanaan, disampaikan oleh Pengarah Pejabat Perusahaan di UTB, Dr Sharina Yunus. Ini diikuti dengan sesi perkongsian strategik oleh Ketua Perhubungan Luar di Brunei LNG Sdn Bhd, Malai Ayla Surya binti Malai Haji Abdullah.
Sementara itu, Ketua Program Pengurusan Pembangunan Perusahaan di Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Reuben Chin selaku penceramah ketiga telah berkongsi pandangan tentang aliran proses perniagaan. Penceramah terakhir, Ketua Pegawai Eksekutif InnovAero, Awang Shafique Hussain berkongsi kisah kejayaan inovasi dan keusahawanan.