Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Peranan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai wahana diplomasi serta hubungan antarabangsa dalam konteks globalisasi dan ekonomi jingga menjadi tumpuan utama pembentangan delegasi Brunei Darussalam semasa Seminar Kebahasaan Antarabangsa Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang berlangsung di Kementerian Pendidikan, Jakarta, dengan Indonesia selaku tuan rumah.
Pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Muhammad Najib bin Noorashid, dalam pembentangannya bertajuk Pemartabatan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia dalam Konteks Globalisasi dan Ekonomi Jingga: Satu Perspektif dari Negara Brunei Darussalam menegaskan bahawa perdebatan mengenai kedudukan kedua-dua bahasa tersebut di tengah dominasi bahasa Inggeris kekal relevan di rantau Alam Melayu. Ia, jelas beliau, berkait rapat dengan aspek identiti, budaya dan warisan linguistik masyarakat serumpun.
Beliau turut menjelaskan bahawa salah tanggapan terhadap isu kontak bahasa di Alam Melayu sering berpunca daripada warisan penjajahan Barat yang telah mempengaruhi pemikiran serta hala tuju penyelidikan linguistik di rantau ini. Dalam konteks yang lebih luas, beliau mengutarakan pandangan mengenai potensi bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dalam menyokong pertumbuhan ekonomi jingga, khususnya dalam sektor kreatif dan inovatif.
Selaras dengan tema seminar, Peranan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia dalam Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa/Antarnegara, Dr Muhammad Najib menekankan pentingnya kerjasama antara negara-negara serumpun bagi memperkukuh kedudukan bahasa di peringkat global serta memperkasa asas ilmu dan diplomasi serantau dalam era pascakolonial.
Penolong Profesor Kanan UBD, Dr Haji Rozaiman bin Makmun, turut membentangkan kertas kerja bertajuk Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa melalui Strategi Pendidikan, Pemasyarakatan dan Pemerkayaan Kata Pinjaman.



Beliau meneliti keperluan memperkasa penggunaan kata pinjaman dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia melalui pendekatan pendidikan di peringkat sekolah rendah, di samping menekankan bahawa strategi pendidikan, pemasyarakatan dan inovasi perlu dilaksanakan secara terancang bagi memperkukuh kedudukan bahasa serantau tersebut.
Menurut beliau, langkah itu diyakini dapat memperkukuh perancangan bahasa melalui kodifikasi, standardisasi dan pemodenan agar bahasa Melayu kekal relevan serta berdaya saing dalam dunia moden. Dr Haji Rozaiman turut menyarankan agar MABBIM mempertimbangkan penubuhan kelas global sebagai wadah pembelajaran bersama bagi memperkukuh bahasa diplomasi antara penutur bahasa Melayu, bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia.
Ketua Perwakilan MABBIM Brunei Darussalam dari Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, turut mengiringi kedua-dua ahli akademik berkenaan sebagai sebahagian daripada delegasi Brunei Darussalam.
Sejak penubuhannya pada tahun 1972, dengan Brunei Darussalam menyertai sebagai negara anggota pada tahun 1985, MABBIM terus menjadi platform kerjasama kebahasaan serantau yang berteraskan semangat kebersamaan serta visi linguistik bersama tiga buah negara serumpun. Hingga kini, badan tersebut kekal memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan bahasa sebagai instrumen integrasi dan kedaulatan intelektual serantau.

