Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Seminar bersempena Majlis Ilmu 2025 yang mengusung tema, Negara Ditanai Dengan Sedekah, melaksanakan tiga sidang utama yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Seminar yang mendapat sambutan amat menggalakkan berkenaan menyaksikan kehadiran le-bih 500 peserta terdiri daripada para pegawai kerajaan dan sektor swasta, ahli akademik, penyelidik, guru-guru, ahli takmir dan Muslimah masjid, para belia, mahasiswa dan mahasiswi, pelajar-pelajar serta masyarakat umum.
Sidang pertama yang bertajuk, Fadilat dan Keberkatan Sedekah dalam Maqasid Syariah itu telah dipengerusikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Hadir pada sesi pertama berkenaan ialah Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Setia Haji Salim bin Haji Besar.
Semasa sidang pertama, pembentang kertas kerja terdiri daripada Penolong Mufti (Ifta’), Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah; Pensyarah Fakulti Syariah dan Ketua Program Lepas Ijazah Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i (PPMS), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Cecep Soleh Kurniawan; serta Penolong Kanan Profesor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Harapandi bin Dhari.


Sementara itu, sidang kedua yang membawa tema, Sedekah Pemangkin Pembangunan Negara dari Kesejahteraan Sosial, telah dipengerusikan oleh Pensyarah UNISSA, Awang Muhammad Fuad bin Matahir.
Hadir pada sidang berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Pembentang-pembentang bagi sidang kedua ialah Presiden Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) Brunei, Awang Mohd Yusof bin Halim; Penolong Pengarah Urusan, Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Awang Iswandy bin Ahmad; serta Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Fauziah binti Haji Salleh.
Manakala sidang ketiga bertajuk Kelestarian dan Transformasi Sedekah telah dipengerusikan oleh Penolong Profesor Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam, Pengiran Dr Norhazlin bin Pengiran Haji Muhammad.
Hadir pada sidang ketiga ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad.

