Sunday, November 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seminar perkukuh kefahaman MIB

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Seminar Kebangsaan Pendidikan Melayu Islam Beraja semarak Hari Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 akan diadakan pada 2 Mac ini di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Seminar berkenaan merupakan anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Ilmu Teras dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei (PSB) dan Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja.

    Penganjuran seminar itu diumumkan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar semasa sidang media di PSB di ibu negara.

    Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengetua PSB, Awang Mohammad Syahmi bin Halimshah yang juga mengongsikan pengisian seminar dengan pembentangan kertas kerja dan forum.

    Seminar berkenaan akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku tetamu kehormat majlis.

    Dr Haji Noralizam dan Awang Mohammad Syahmi mengongsikan pengisian seminar berkenaan pada sidang media kelmarin. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Dengan membawa tema Memperkasa Penghayatan Amalan dan Nilai-nilai Melayu Islam Beraja ke arah Mencapai Wawasan 2035, seminar berkenaan adalah bagi menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Israk dan Mikraj pada 2019.

    Dalam titah Baginda menegaskan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang akan sentiasa mementingkan ibadat kepada Allah SWT dan seterusnya dipandu oleh sistem Melayu Islam Beraja (MIB) yang telah berjalan sejak ratusan tahun.

    Seminar itu diharap dapat membantu memperkukuhkan lagi kefahaman MIB dalam kalangan masyarakat, seterusnya menekankan kepentingan mengekalkan, mempertahankan dan menghayati amalan serta nilai-nilai MIB.

    Ia akan dimulakan dengan ucaptama bertajuk Memperkasa Penghayatan Amalan dan Nilai-nilai MIB ke arah Merealisasikan Wawasan 2035 yang akan disampaikan oleh Dato Paduka Dr Haji Abdul Latif bin Haji Ibrahim.

    Seminar berkenaan menyasarkan peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian, ahli akademik dan para pelajar dari institusi pengajian tinggi pendidikan, sekolah-sekolah, masjid-masjid dan ahli persatuan-persatuan.

    Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah berhubung dengan setiausaha bersama seminar, Awang Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa di talian 862 8213 atau e-mel muslihuddin.mustafa@kupu-sb.edu.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda