Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pagi tadi menganjurkan Seminar Dakwah bersempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan PDI ke-40.
Seminar yang berlangsung selama dua hari dengan tema Sinar Dakwah 40 Tahun di Negara Zikir: Cabaran dan Harapan itu dihadiri oleh seramai 91 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi serta perseorangan bagi berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan daripada tokoh-tokoh yang arif dalam bidang masing-masing.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Pegawai Kerja (SkiPPA), PDI, Awang Muhammad Zainulariffin bin Haji Muskapah.


Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, selaku Pengerusi Jawatankuasa Seminar Dakwah dan Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI Sempena Jubli Delima PDI, yang menekankan kepentingan seminar itu sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman serta peluang melahirkan pendekatan baharu dalam mendepani cabaran digital, membimbing golongan belia dan memperluas jaringan dakwah.
Manakala, ucapan perasmian seminar disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin, yang antara lain menekankan usaha mempertinggi dan memperkuat syiar agama Islam di Negara Brunei Darussalam.
Sejurus selepas ucapan pe-rasmian, majlis diteruskan dengan tayangan video perasmian dan sesi interaktif bersama Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, diikuti penyampaian cenderahati kepada beliau.
Seminar ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat ter-hadap kepentingan gerakan dakwah kepada Muslim dan bukan Islam serta meneroka kaedah berkesan yang boleh diadaptasikan dalam perkembangan dakwah masa kini.
Sepanjang dua hari seminar berlangsung, sebanyak 12 kertas kerja akan dibentangkan mengikut lima sub-tema utama iaitu Menelusuri 40 Tahun PDI, Dakwah Digital, Dakwah dan Belia, Dakwah kepada Non-Muslim di Pedalaman dan Bandar, dan Dakwah dan Personaliti Da’ie.
Di samping pembentangan sidang pleno, pembentangan juga akan turut diadakan pada petang hari kedua, yang akan disampaikan oleh tiga ahli sidang pleno dengan tajuk pembentangan Memperkasa Peranan PDI di Era Digital yang disampaikan oleh Haji Abdul Rajid; Strategi Dakwah Terkini: Relevan, Realistik dan Responsif oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, MyGuide Malaysia, Negeri Sabah, Malaysia, Haji Nicholas Sylvester @ Muhammad Abdullah; dan Strategi Dakwah Terkini di Kalangan Non-Muslim dibentangkan oleh Presiden Persatuan Dayak Muslim, Kalimantan Barat, Republik Indonesia, Muhammad Damanhuri SHI.SH.M.PD.
Dengan penganjuran seminar dakwah seperti ini diharapkan dapat memberi manfaat dalam meningkatkan kualiti gerakan dakwah khususnya di PDI serta mendorong perkembangan dakwah di negara ini seiring dengan keperluan semasa.

