Gambar serahan AITI
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Brunei Darussalam (AITI) dengan sokongan Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO), baru-baru ini, telah menghoskan Seminar Perlindungan Paten: Menjamin Hak kepada Inovasi Anda yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, Pejabat AITI, Anggerek Desa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan AITI, seminar diadakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai nilai dan proses paten dengan matlamat untuk meningkatkan jumlah paten ICT yang dikomersialkan di Brunei.
Lebih 50 orang perwakilan daripada industri ICT, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pelajar-pelajar dan orang awam menyertai seminar tersebut.
Seminar menampilkan Pengurus Kanan di Pejabat Inovasi dan Perusahaan, Universiti Brunei Darussalam, Dr Nagender Aneja yang menyentuh mengenai kriteria-kriteria paten dan cara untuk mengetahui sama ada sesuatu ciptaan itu baharu dan berlainan atau sebaliknya. Beliau juga mengendalikan satu bengkel mengenai pendrafan paten di mana para peserta perlu menulis dan menggambarkan tuntutan paten.
Sementara itu, Pegawai Perundangan Kanan di Pejabat Peguam Negara, Hajah Zunaidah binti Haji Ramli @ Ismail dan Pembantu Pegawai Eksekutif BruIPO, Yapp Shih Kuo @ Yapp Zhuan Rong membentangkan mengenai Sistem Paten di Brunei.
Dayang Rabi’atul Adawiyah binti Abdullah dari Grand IP Technologies pula berkongsi pandangannya mengenai pengkomersialan paten diikuti serta pengalamannya mendapatkan kelulusan paten PCT (World) Made in Brunei bagi Color Solar Panel Coating Technology.
Pembentangan terakhir adalah mengenai Penguatkuasaan atau Pelanggaran Paten dan Aktiviti-aktiviti Post-Filing oleh dua pembentang dari CCW Partnership, On Hung Zheng dan Jacqueline Lau.

