Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Bagi mendedahkan para peserta kepada Perundangan Perlindungan Varieti Tumbuhan, Seminar Kesedaran Perlindungan Varieti Tumbuhan telah diadakan baru-baru ini, bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Berakas.
Seminar anjuran Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Pejabat Harta Intelek Brunei Darussalam (BruIPO) itu dihadiri oleh Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Awang Abuzar bin Haji Mohd Tahir, selaku tetamu kehormat dan Ketua BruIPO, Dayang Norazizah binti Haji Mohd Jaafar.
Turut hadir ialah wakil-wakil daripada institusi-institusi tinggi, pengusaha-pengusaha pertanian, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan BruIPO.
Tujuan utama seminar tersebut diadakan adalah bagi mendedahkan para peserta kepada Perundangan Perlindungan Varieti Tumbuhan yang merupakan perundangan untuk melindungi hak pembiak baka dan sebagai pengiktirafan serta perlindungan ke atas sumbangan yang dibuat terhadap mewujudkan varieti baharu tumbuhan.
Seminar itu juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran peserta dalam manfaat serta potensi pembangunan varieti-varieti tanaman yang baharu kepada pembiak baka dan industri tanaman melalui pengkomersialan varieti-varieti baharu yang dilindungi di bawah perundangan tersebut.
Seminar berkenaan juga diharap untuk menjadi wadah dalam membincangkan sebarang isu-isu yang dibangkitkan oleh peladang sebelum negara komited kepada kewajipan yang dikenakan oleh konvensyen International Union for the Protection of New Varieties of Plants (UPOV).
Seminar itu merupakan salah satu daripada dua seminar berkaitan Perundangan Perlindungan Varieti Tumbuhan yang disasarkan untuk diadakan pada tahun ini.
Ia diharap akan dapat meningkatkan minat orang ramai termasuk untuk menceburi bidang pembiakbakaan tanaman dan membangunkan lebih banyak varieti-varieti baharu tumbuhan yang lebih baik dari segi hasil, kualiti dan mempunyai ciri-ciri agronomi yang unggul bagi dipasarkan secara komersial di dalam negara dan juga eksport.
Turut hadir ke seminar tersebut secara maya ialah Pengarah Hal Ehwal Perundangan, UPOV, Martin Ekvad; Pemeriksa Kanan, Department of Crop Production, Ministry of Agriculture & Rural Development, Vietnam, Cam Hang; dan Pengarah, Vietnam Seed Support Service Center (VSC), Vietnam, Dr Nguyen Thanh Minh.




