Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seminar teroka kerjasama serantau

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Dalam usaha meneroka jalan untuk mengukuhkan hubungan antara Republik Korea (ROK) dan ASEAN melalui peningkatan kerjasama serantau yang difasilitasi oleh penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC) dan usaha penyesuaian oleh ROK dan Negara Brunei Darussalam, Seminar Memperkukuh Solidariti ROK-ASEAN melalui Kerjasama Tindakan Iklim Serantau telah diadakan hari ini.

    Seminar yang berlangsung di Teater Kuliah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu dihadiri oleh Setiausaha Tetap Tenaga, di JPM, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kim Soung-Eun dan Sekretariat ASEAN.

    Hajah Farida dalam ucapannya menyatakan seminar berkenaan merupakan platform untuk memudahkan pertukaran ilmu mengenai strategi tindak balas perubahan iklim.

    “Ini termasuk mitigasi dan usaha penyesuaian oleh ROK dan Brunei, serta meneroka jalan untuk mengeratkan hubungan antara ROK dan ASEAN melalui kerjasama serantau yang dipertingkatkan,” jelasnya.

    Dalam ucapan beliau turut menyentuh mengenai perubahan iklim, “Dalam menghadapi cabaran global yang belum pernah berlaku sebelum ini, perubahan iklim dilihat sebagai krisis eksistensi terbesar pada zaman ini.”

    Presiden Institut Alam Sekitar Korea, Dr Chang Hoon Lee ketika menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara jemputan yang menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Katanya lagi, “Peningkatan yang membimbangkan dalam pelepasan gas rumah hijau, dan kejadian cuaca ekstrem mempunyai akibat yang meluas dan mempunyai kesan global dan domestik.

    “Kesimpulan Panel Antara Kerajaan terhadap Laporan 6 Penilaian Perubahan Iklim yang telah meramalkan bencana akibat iklim yang lebih teruk jika gagal mengehadkan pemanasan global kepada 2 darjah Celsius, dan mesti mengorak langkah yang lebih baik untuk mengehadkannya kepada 1.5 darjah Celsius.

    “Ia adalah masalah yang memerlukan tindakan kolektif, kerjasama, dan rasa tanggungjawab bersama,” jelasnya.

    Beliau turut mengongsikan di mana Brunei telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam perjalanan perubahan iklim, dan dengan pelancaran Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei pada 2020 telah yang menggariskan strategi utama untuk karbon rendah dan Negara Brunei Darussalam yang berdaya tahan iklim.

    Selain itu, kerajaan juga melancarkan Mandatory Reporting Directive untuk meningkatkan keteguhan dalam laporan data, di samping memastikan bahawa usaha penyesuaian turut digariskan, dan untuk memudahkan pelaksanaan tindakan iklim, Memorandum Persefahaman untuk Pembiayaan Iklim telah dimeterai dengan salah satu bank tempatan.

    Beliau turut menjelaskan, seminar itu berfungsi sebagai platform untuk mengenal pasti peluang kerjasama dan bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua buah negara dengan ASEAN, di samping untuk menangani cabaran bersama ke arah masa depan yang mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda