Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Bagi mengukuhkan kefahaman akidah, memperkasa amalan harian Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengenal pasti isu-isu dan cabaran dalam pendidikan akidah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) akan mengadakan Seminar Kefahaman Akidah dan Pemikiran Semasa 2019 (SEKAPES) dari 14 hingga 15 Ogos ini.
Seminar kedua dengan tema ‘Pendidikan Ahli Sunnah Wal jamaah Asas Kemurnian Amalan Ummah’ anjuran Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini diadakan dengan kerjasama Fakulti Usuluddin dan Fakulti Syariah, KUPU SB.
Selain itu, seminar tersebut juga diharapkan dapat mengenal pasti isu-isu dan cabaran dalam pendidikan akidah dan mencapai penyelesaian jangka pendek dan panjang dalam menangani fahaman dan pemikiran semasa yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sembilan sub-tema seminar yang akan dibincangkan termasuk Fiqh Ahli Sunnah Wal Jamaah: Konsep dan Amalan, Tasawwuf Ahli Sunnah Wal Jamaah: Konsep dan Amalan, Amalan-amalan Harian Ahli Sunnah Wal Jamaah di Negara Brunei Darussalam dan Nusantara, Peranan Ulama dan Guru dalam Menangani Pemikiran dan Isu Semasa, Pendidikan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Melahirkan Modal Insan dan Ummah yang Bertakwa, Adab-adab Ahli Sunnah Wal Jamaah: Asas Pembentukan Keluarga dan Masyarakat dan lain-lain.
Seminar tersebut akan membentangkan 57 kertas kerja yang disampaikan oleh ahli-ahli akademik dan pelajar pasca siswazah dari dalam dan luar negara termasuk Malaysia dan Indonesia.
Seminar itu nanti juga akan diserikan dengan pembentangan empat kertas yang disampaikan oleh Rektor Universitas PTIQ Jakarta Indonesia, Profesor Dr Nasaruddin Umar; Profesor Madya Pendidikan Islam, Jabatan Kurikulum dan Perkaedahan Kulliyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Adnan Abdul Rashid; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.
Pendaftaran bagi menyertai seminar masih dibukakan sehingga 10 Ogos dan maklumat lanjut bolehlah menghubungi Setiausaha bersama SEKAPES 2019 melalui talian 8628213 atau emel muslihuddin.mustafa@kupu-sb.edu.bn.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Dekan Fakulti Usuluddin, Dr Mikdar Rusdi dan Dekan Fakulti Syariah KUPU SB, Dr Abdul Raud Muhammad Amin.
