Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semoga berjaya atlet para Brunei!

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Urus setia Kontinjen NBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Temasya Sukan Para ASEAN ke-12, membuka tirainya dalam acara penuh gilang-gemilang dan berwarna-warni semasa Acara Pembukaan Rasmi Sukan Para ASEAN Ke-12, 2023 yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja, kelmarin.

    Acara dirasmikan oleh Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Techo Hun Sen. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Hun Many selaku perwakilan Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN ke-12 dan seterusnya menyaksikan penyampaian ucapan alu-aluan kedua oleh Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN, Mejar Jeneral Osoth Bhavilai.

    Acara dimeriahkan lagi dengan persembahan Khmer Heart yang diikuti dengan larian obor berganti-ganti dan menyalakan kawah serta persembahan bunga api.

    Turut hadir ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Pengiran Kasmirhan bin Pengiran Tahir.

    Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Chef de Mission, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor terdiri 23 orang iaitu 11 orang pegawai urus setia, jurulatih dan perubatan serta 12 orang atlet dalam tiga jenis sukan iaitu sukan para olahraga, sukan para badminton dan sukan para renang.

    Atlet sukan para olahraga, Awang Shari bin Haji Jumaat diberikan penghormatan sebagai pemegang bendera Negara Brunei Darussalam bagi acara baris lalu para kontinjen negara semasa acara majlis pembukaan berkenaan.

    Seramai 2,000 orang delegasi yang terdiri daripada atlet dan pegawai daripada 11 buah negara Asia Tenggara menyertai temasya sukan dwitahunan itu yang mempertandingkan sebanyak 12 sukan yang mengandungi 439 acara.

    Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang menyertai Acara Pembukaan Rasmi Sukan Para ASEAN ke-12, 2023 yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda