SIBU, 29 MAC – Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) berharap untuk mencapai kecemerlangan lebih membanggakan dengan pelantikan semula 19 ahli majlis dan 13 muka baharu bagi tahun 2023 hingga 2025.
Pengerusinya, Sempurai Petrus Ngelai berkata dengan gandingan profesional dalam pelbagai bidang dan pesara kerajaan pelbagai belakang pendidikan, MDLBS jelas memiliki pasukan yang lebih kukuh berbanding sebelumnya, dalam mentadbir 27 zon dalam kawasannya.
“Dari segi pengalaman dan pendidikan, semua kelihatan baik. Saya rasa sudah tiba masanya setiap pihak berkuasa tempatan memastikan ia memiliki tenaga dalam kalangan mereka yang boleh menyumbang, bukan sahaja dari segi membuat dasar, tapi juga yang boleh merancang dan melaksanakan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya dalam persidangan media di sini hari ini.
Beliau berkata pentadbiran SRDC merangkumi kawasan seluas 5,860 kilometer persegi, yang memerlukan ahli majlis yang boleh pergi ke akar umbi dan membangunkan hubungan yang baik dengan orang ramai, bagi mendapatkan maklum balas yang diperlukan untuk menambah baik perkhidmatannya.
Majlis pelantikan ahli majlis dijadualkan berlangsung pada Isnin (3 April) ini, dengan disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang juga merupakan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak. – Bernama
