PARIS, 31 JAN – Beberapa negara di dunia memperketat sempadan mereka terhadap penularan varian koronavirus sementara Amerika Syarikat (AS) semalam mengarahkan pelawat supaya memakai penutup mulut dan hidung dalam pengangkutan awam.
Dengan dos vaksin COVID-19 berlainan yang diluluskan penggunaan setakat ini masih kekurangan bekalan, dan program inokulasi pada peringkat awal, Britain dan Kesatuan Eropah (EU) telah dibelenggu perbalahan berhubung vaksin yang telah dijanjikan oleh pengeluar AstraZeneca.
Vaksin yang dibangunkan oleh firma Britain-Sweden itu merupakan yang ketiga dikeluarkan di Eropah. Namun syarikat itu berkata ia hanya boleh menghantar sebahagian dos yang dijanjikan kepada Brussels dan London disebabkan masalah pengeluaran.
Tatkala Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengingatkan terhadap ‘nasionalisme vaksin,’ Britain dan EU berkata semalam mereka yakin masalah itu dapat diselesaikan.
Menteri Hal Ehwal Eropah Perancis Clement Beaune mengingatkan ia akan menimbulkan ‘masalah’ sekiranya UK diberikan layanan istimewa.
“Jika terdapatnya masalah industri, yang boleh berlaku, orang boleh memahaminya,” kata beliau dalam komen yang dijadual disiarkan hari ini.
“Namun jika layanan istimewa diberikan kepada Britain, ia akan menimbulkan masalah.”
Menteri Luar Britain Dominic Raab mengingatkan ‘dunia sedang memerhati dan kami hanya mampu mengatasi pandemik ini menerusi kolaborasi antarabangsa.’ – AFP
