PESHAWAR, 24 FEB – Pakistan telah menutup laluan sempadan utama bersama Afghanistan beberapa jam selepas ia dibuka semula kelmarin, menurut kenyataan pegawai, dalam kemelut terbaharu penutupan persimpangan Torkham yang bermula awal minggu ini.
Pengumuman mengenai sempadan, yang merupakan laluan perdagangan utama bagi Afghanistan dan Pakistan, telah menambah ketegangan antara kedua-dua buah negara, yang berkongsi sempadan yang dibelenggu kekacauan dan keganasan.
Taliban, yang memerintah Afghanistan, Ahad lalu menutup sempadan tersebut, selepas mendakwa Islamabad tidak mematuhi perjanjian dengan Kabul bagi membenarkan pesakit dari Afghanistan dan penjaga mereka untuk memasuki Pakistan tanpa dokumen perjalanan bagi tujuan penjagaan kesihatan.
Pada Isnin, pasukan tentera Taliban Afghanistan dan pengawal sempadan Pakistan berbalas tembakan, sehingga mencederakan seorang askar Pakistan.
Pada Rabu, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Mohammad Asif dan Ketua Perkhidmatan Rahsia, Leftenan Jeneral Anjum Nadeem, membuat perjalanan ke Kabul dan mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Taliban bagi membincangkan isu sempadan. – AP