KUALA LUMPUR, 8 Nov – Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menggesa laluan udara, laut dan darat di Yaman terus dibuka bagi membolehkan bekalan bantuan kemanusiaan dapat masuk ke negara berkenaan.
Pengarah Wilayah ICRC Timur Tengah, Robert Mardini berkata dalam satu kenyataan hari ini, bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan bekalan penting lain amat diperlukan untuk kelangsungan hidup 27 juta penduduk Yaman, yang kini dalam keadaan semakin teruk akibat konflik, yang berlarutan selama tiga tahun.
Menurut ICRC, buat masa ini tiada sebarang pergerakan di dalam mahupun di luar Yaman, termasuk di laut, udara dan darat, penghantaran tablet klorin, yang digunakan untuk pencegahan kolera termasuk 50,000 insulin, tidak mendapat kebenaran masuk di sempadan utara Yaman.
“Insulin tidak boleh dibiarkan terlalu lama di tempat terbuka kerana ia mesti disimpan dalam peti sejuk. Tanpa penyelesaian yang cepat ia boleh mengundang masalah kemanusiaan lebih teruk,” kata Mardini. Kehidupan penduduk di Yaman sudah cukup menderita akibat konflik bersenjata, yang telah memusnahkan banyak infrastruktur penting dan membawa sistem kesihatan berada di ambang kemusnahan.
“Kami sangat prihatin terhadap jumlah korban awam yang semakin meningkat, dan tindakan mensasarkan infrastruktur bukan tentera, seperti loji rawatan air dan lapangan terbang awam. Tindakan sedemikian melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Mardini. – Bernama