SEMPORNA, 14 Feb – Daerah ini sangat memerlukan pusat tapak semaian benih rumpai laut bagi mengatasi kekurangan benih tanaman itu yang menjadi sumber pendapatan utama nelayan.
Ketua Kluster Rumpai Laut Kampung Lok Buton Hadman Indanan, 42, berkata selama hampir 16 tahunpenglibatannya dalam industri rumpai laut, mereka terus berhadapan isu kekurangan benih rumpai ini yang menjejaskan kapasiti pengeluaran.
Katanya benih rumpai laut sedia ada tidak mencukupi untuk 70 peserta kluster di kampung itu memandangkan program ini berkelompok dan pusingan benih yang ditanam semula agak perlahan sehinggakan mereka terpaksa membeli benih dari Sibuan dan Kerindingan.
Beliau berkata di perairan Kebimbangan, Lok Buton dan Gelam-Gelam hanya tertumpu angin utara sepertisekarang untuk pengeluaran benih dan apabila tiba musim selatan pengeluaran benih itu perlahan untuk tempoh masa satu ke dua bulan.
“Oleh itu, perlu ada pusat tapak semaian bagi mengatasi masalah kekurangan benih rumpai laut ini dan cadangan ini telah saya ajukan kepada pihak Jabatan Perikanan sejak tahun lepas. – Bernama