Saturday, November 23, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sempurnakan hak anak-anak

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Anak-anak adalah antara nikmat terbesar kurniaan Allah SWT kepada kita, yang merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dijaga oleh ibu bapa.

    Mereka dianugerahkan oleh Allah SWT sebagai ujian kepada hambaNya, sama ada dengan kurniaan itu, kita akan menambah ketakwaan dan mensyukuri nikmat atau sebaliknya.

    Khatib menegaskan perkara tersebut semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Setiap Kanak-kanak Punya Hak, dan seterusnya menambah, hak yang paling asas bagi setiap anak ialah hak untuk hidup.

    Sebagai ibu bapa, penjaga dan anggota masyarakat, kurnia besar ini harus ditunaikan dengan penuh tanggungjawab kerana mereka bukan sahaja aset berharga keluarga tetapi juga aset kepada bangsa dan negara.

    Islam telah memberikan perhatian besar kepada perlindungan hak anak-anak, yang meliputi rohani dan jasmani, intelektual, akhlak, ekonomi dan sebagainya.

    Gambar fail Muiz Matdani
    Seorang bapa pulang bersama anak-anaknya selepas selesai menunaikan solat Fardu Jumaat. Dalam khutbahnya, khatib menekankan ibu bapa mesti menunaikan hak anak iaitu memberikan kasih sayang dan melindungi mereka daripada penderaan dan eksploitasi. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Katanya, “Kita mesti berusaha untuk melindungi kehidupan anak-anak dengan memberikan perawatan, pemeliharaan dan pengasuhan yang sempurna. Ini kerana pembentukan jiwa kanak-kanak dipengaruhi oleh cara penjagaan sejak lahir sehingga dewasa agar mereka membesar menjadi insan berguna.”

    Khatib menegaskan, hak untuk memperoleh pendidikan juga sangat penting. Islam menekankan kepentingan ilmu seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran.

    Khatib menyeru semua pihak untuk memastikan tiada anak yang dinafikan peluang untuk belajar dan berkembang. Keluarga merupakan lingkungan pertama, memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi anak melalui pendidikan sopan santun, membiasakan amalan baik, latihan-latihan tanggungjawab dan sebagainya.

    Di Brunei Darussalam, hak pendidikan anak dijamin oleh undang-undang, satu nikmat yang harus disyukuri. Melalui pendidikan, anak-anak dapat dipersiapkan menjadi generasi yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

    Khatib turut menekankan hak anak untuk mendapatkan kasih sayang. Setiap anak berhak dilayan dengan kebaikan, kasih sayang, dan belas kasihan.

    “Adalah menjadi tanggungjawab kita mewujudkan persekitaran yang selamat, di mana anak-anak merasa dihargai dan disayangi,” tegas khatib sambil menambah bahawa mereka juga mesti dilindungi daripada penderaan, kekerasan, eksploitasi, dan pengabaian.

    Selain itu, hak untuk membesar dalam persekitaran yang sihat dan selamat juga penting.

    Penjagaan kesihatan, pemakanan seimbang dan keselamatan yang mencukupi adalah keperluan asas bagi anak-anak.

    Dalam dunia yang penuh tekanan, kesihatan mental juga perlu diberi perhatian. Masalah emosi seperti kebimbangan dan kemurungan menjadi ancaman kepada kanak-kanak. Kita berperanan sebagai tempat bergantung kepada anak-anak dan boleh dipercayai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda