Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan berangkat ke Tugu Peringatan Memorial of the Unknown Soldier, Nasr City di Mesir bagi upacara meletakkan kalungan bunga.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Commander of the Central Army, Mejar Jeneral Emad El Ghazaly, sebelum lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dimainkan, diikuti lagu kebangsaan Mesir.
Baginda kemudian dijunjung bagi meletakkan kalungan bunga di tugu peringatan tersebut. Sebagai penghormatan, Baginda juga berkenan menziarahi tapak perkuburan Presiden Mesir ke-3, Anwar Sadat.
Tugu Peringatan Memorial of the Unknown Soldier adalah monumen berbentuk sebuah piramid yang terletak di Nasr City, Kaherah. Pembinaannya diperintahkan oleh Presiden Anwar Sadat pada tahun 1974 sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa perang Yom Kippur yang juga dikenali sebagai Perang Ramadan atau Perang Oktober yang tercetus pada 6 Oktober 1973.
Dalam pada itu, Baginda Sultan pagi tadi juga berkenan berangkat ke majlis sambutan rasmi, perjumpaan empat mata dan perjumpaan dua hala dengan Presiden Mesir, Tuan Yang Terutama Abdel Fattah El Sisi dan Majlis Santap Tengah Hari.




Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan berangkat ke majlis sambutan rasmi di mana TYT Abdel Fattah El Sisi mengalu-alukan ketibaan Baginda di hadapan Ittihadiyah Palace, Heliopolis.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama TYT naik ke pentas khas untuk menerima tabik hormat, diikuti oleh lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan 21 das tembakan meriam. Kedua-dua pemimpin seterusnya beredar memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota Republican Guard of the Egyptian Army.
Kemudian, delegasi yang terdiri daripada menteri-menteri kabinet Mesir disembahkenalkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia diikuti delegasi Brunei diperkenalkan kepada TYT Presiden Mesir sebelum kedua-dua pemimpin beredar masuk ke Ittihadiyah Palace.
Selepas majlis sambutan rasmi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengadakan perjumpaan empat mata dengan TYT Presiden Mesir di Presidential Lounge, Ittihadiyah Palace.
Sejurus selepas itu,Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan TYT mengadakan perjumpaan dua hala dan berbincang mengenai isu-isu dua hala di antara Brunei dan Mesir serta bertukar-tukar pandangan tentang hal ehwal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Selepas perjumpaan berkenaan, Baginda kemudiannya berangkat ke Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Abdel Fattah El Sisi bagi meraikan keberangkatan negara Baginda ke Mesir.
Sebelum berangkat balik meninggalkan Ittihadiyah Palace, Baginda disembahkan ucapan selamat berangkat oleh Tuan Yang Terutama Presiden Mesir.
Sementara itu, dua memorandum persefahaman (MoU) telah berjaya ditandatangani oleh kedua-dua negara pada majlis berasingan yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan Republik Arab Mesir, dan Kementerian Pelaburan dan Kerjasama Antarabangsa Mesir.
MoU dalam kerjasama ekonomi dan teknikal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri Pelaburan dan Kerjasama Antarabangsa, Puan Yang Terutama Dr Sahar Nasr telah menandatangani bagi pihak Mesir.
Bagi MoU dalam kerjasama kebudayaan berkenaan telah ditandatangani oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia manakala Menteri Kebudayaan, PYT Enas Abdel Dayem telah menandatangani bagi pihak Mesir.