Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sempurnakan penghidangan dengan talam rekaan sendiri

    Oleh Amri HTZ

    Orang Melayu sememangnya terkenal dengan budaya adab dan sopan santun sejak dari dulu lagi hingga kini apalagi ketika menerima tetamu.

    Tetapi tuntutan menjaga tatatertib dalam setiap perbuatan sudah menjadi adat bagi seluruh masyarakat tanpa mengira agama.
    Hal ini boleh dilihat dalam sesuatu masyarakat ketika melayan tetamu luar mahupun ahli keluarga sendiri di mana ketika menghidangkan sesuatu, penggunaan talam dititikberatkan bagi memperlihatkan kesopanan.

    Dalam memastikan talam digunakan bersesuaian dan unik dipandang, rebut peluang untuk menghasilkannya sendiri.

    Sedia barangan lebih awal

    Sebelum memulakan proses pembuatan terlebih dahulu sediakan alat seperti gam kayu, kertas pasir 120 dan 300 grit, wood finish pilihan, kepingan papan berwarna gelap dan cerah, mesin pemotong kayu circular atau mesin jig, mesin pemotong kayu meja, ketam kayu, pita pengukur, pen penanda dan mesin gerudi.

    Langah amat mudah

    Kepingan papan yang telah disediakan terlebih dahulu perlu dibersihkan permukaannya daripada sebarang paku atau skru bagi meneruskan langkah seterusnya iaitu meratakan permukaannya.

    Kepingan kayu berwarna cerah dan gelap dicantumkan untuk mereka pemegang talam.

    Kepingan papan yang telah disediakan akan dicantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu dan pengepit kayu.
    Bahagian pemegang yang telah dicantumkan menjadi satu akan ditempatkan pada bahagian atas talam.
    Permukaan papan kemudiannya akan disapukan dengan wood finish pilihan.
    Penggunaan dowel pada bahagian bawah kayu pemegang bagi memastikan cantuman kukuh.

    Ini terutamanya bagi awda yang menggunakan kepingan papan yang digunakan semula. Langkah seterusnya ketam permukaan kayu menggunakan mesin ketam atau secara manual.

    Ketebalan yang diperlukan untuk mereka talam daripada kayu ini lebih kurang 2” bagi permukaan utama. Sementara bagi bahagian pemegang yang akan dicantumkan bersama kayu yang mempunyai warna yang berlainan, kayu berwarna gelap akan berukuran 1 ½” sementara bagi bahagian kayu berwarna putih pula mempunyai ketebalan ½”.

    Permukaan utama talam pada projek ini akan berukuran 18” x 12” dengan ketebalan 2”. Kepingan papan yang telah diratakan tadi akan dicantumkan menjadi satu dengan bahagian sisinya dicantumkan dengan kayu berwarna cerah untuk memberikan kelainan. Dengan permukaan sisi kayu yang telah diratakan, potong kayu berwarna gelap dengan lebar 7” dan 3” sekeping setiap satu ukuran. Sementara itu kayu berwarna cerah dengan lebar 2” dan panjang 18” sekeping bagi mereka permukaan utama talam.

    Setelah memotongkannya, langkah seterusnya ialah mencantumkan kesemua potongan kayu tersebut menjadi satu menggunakan gam kayu dan pengepit kayu. sapukan salah satu permukaan sisi kayu gelap lebar 7” diikuti dengan kedua-dua permukaan cantuman kayu cerah dan diakhiri dengan kayu gelap berukuran 3” lebar. Bagi mengekalkan kedudukan kayu-kayu tersebut, gunakan pengepit kayu pada kedua-dua bahagian sisi hujung kayu dan membiarkannya selama beberapa jam untuk gam mengering.

    Tekanan pada pengepit kayu yang digunakan perlulah memadai dan cukup kuat agar cantuman tidak akan terlepas ketika ia berdepan dengan kelembapan atau suhu panas (dijemur langsung pada sinaran matahari). Bagi memastikan tekanan yang diberikan mencukupi, perhatikan kesemua permukaan cantuman di mana akan terdapat lelehan gam terkeluar sejurus selepas pengepit kayu diketatkan.

    Selain itu, memandangkan pengepit kayu diketatkan menggunakan tangan, ketika memutarkannya (mengetatkannya), awda seolah-olah tidak boleh lagi memutarkannya bagi mengetatkannya. Ini menandakan tekanan yang diberikan telah mencukupi.

    Sementara menunggu gam mengering, luangkan masa untuk mereka bahagian pemegang talam juga daripada kayu jenis sama. Mula-mula potongkan kayu berwarna gelap dengan ukuran 3” x 2” x 2” untuk empat batang yang akan digunakan sebagai tiang pemegang diikuti dengan kayu gelap berukuran 2” x 9” 1 ½” dan kayu cerah berukuran 2” x 9” ½”.

    Bagi bahagian kayu 3” x 2” x 2”, salah satu bahagian hujung (sisi) akan direka dengan alur (groove) dengan meninggalkan 2/8” ruangan dari bahagian hujung kayu. Reka alur dengan kedalaman 1” bagi membolehkan kayu bahagian pemegang dimasukkan. Sama ada menggunakan mesin pemotong kayu meja atau router, pastikan proses mereka alur tersebut dilakukan dengan berhati-hati memandangkan terdapat sedikit bahagian kayu (bahagian hujung) yang ditinggalkan dan ia cukup terdedah untuk patah disebabkan ukurannya yang nipis.

    Manakala bagi bahagian pemegang pula, kayu 2” x 9” 1 ½” dan 2” x 9” ½” akan dicantumkan menjadi satu juga menggunakan gam kayu. Sama seperti langkah sebelumnya, biarkan gam mengering selama beberapa jam (mengikut arahan pengilang) sebelum meneruskan langkah seterusnya.

    Apabila gam telah mengering, kayu bahagian pemegang tadi akan dicantumkan dengan tiang pemegang yang telah tersedia. Sapukan ruangan dalam alur tersebut menggunakan gam kayu sebelum memasukkan bahagian hujung kayu pemegang di kedua-dua bahagian hujung. Lakukan langkah yang sama untuk kayu pemegang talam yang satu lagi.

    Untuk mencantumkan kayu bahagian pemegang dengan permukaan utama talam, ini memerlukan awda menebuk dua lubang pada permukaan papan utama dengan jarak yang sama dengan kayu pemegang bagi menempatkan dowel.

    Gunakan mata gerudi yang ukurannya kecil sedikit (kurang 1mm) daripada ukuran dowel yang digunakan bagi memastikan cantuman cukup ketat dan kukuh.

    Dua lubang juga perlu ditebuk pada permukaan bawah tiang pemegang talam dengan jarak yang sama dengan lubang yang telah ditebuk pada permukaan utama talam. Sebelum memasukkan dowel ke dalam lubang yang telah ditebuk, pastikan kedalaman kedua-dua lubang yang ditebuk pada permukaan papan dan tiang pemegang mempunyai ukuran yang sama dengan panjang dowel digunakan. Ini bagi mengelakkan terdapatnya rongga yang terlalu ketara pada permukaan cantuman dan mengeluarkan dowel yang cukup sempit daripada lubang yang telah ditebuk akan menjadi sukar tanpa peralatan khusus.

    Langkah terakhir adalah melindungi keseluruhan permukaan kayu dengan wood finish pilihan. Bagi memastikan kayu berwarna cerah tidak berubah warna terlalu ketara disebabkan penggunaan wood finish yang tidak sesuai, penulis menyarankan awda untuk menggunakan wood finish asli dan berwarna lut sinar. Beberapa lapisan wood finish diperlukan untuk mendapatkan hasil maksimal dan pastikan langkah menyapukan setiap lapisan wood finish diberikan masa untuknya mengering sebelum lapisan seterusnya. Dengan rekaan yang cukup kreatif ini, kini awda boleh bersantai di perkarangan rumah sambil menikmati kopi dan hasil rekaan tersendiri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda