Pelakon dan juga suami kepada penyanyi Indonesia, Raisa iaitu Hamish Daud menafikan dia curang dan menjalin hubungan istimewa dengan cef selebriti, Sabrina Alatas seperti yang didakwa warganet sehingga tular dalam media sosial baru-baru ini.
Menurut Hamish, 45, kewujudan fail dalam platform Pinterest seperti yang tular itu adalah bagi mencari idea untuk rekaan hiasan dalam rumah keluarga Sabrina.
Dia juga turut menjelaskan sudah mengenali Sabrina dan keluarga sejak 10 tahun lalu.“Saya sudah lebih dari 15 tahun menceburi bidang arkitek dan sering mencari idea seni hiasan.
“Contoh rekaan dalaman itu (Pinterest) adalah untuk memberi idea kreatif rekaan dalam kediaman ibu bapanya, bukan Sabrina.
“Khabar (dakwaan curang) itu tidak benar, kami hanya berkawan dan sudah mengenali Sabrina dengan keluarga sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada media dalam satu temu bual, kelmarin.
Hamish menambah, dia juga meminta maaf kepada keluarga Sabrina apabila turut terheret dalam dakwaan negatif tular tersebut.
Dia bagaimanapun hanya membiarkan sahaja semua khabar angin tersebut dan tidak mempunyai perancangan untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang.
“Sepertinya sukar untuk ambil tindakan undang-undang untuk isu yang sudah tular.”
Dalam masa sama, dia turut menegaskan perceraian dengan Raisa bukan disebabkan isu orang ketiga mahu pun curang sebaliknya atas keputusan bersama.
“Kami berpisah secara baik dan semua sudah dipersetujui secara bersama,” tambahnya. – Agensi


